Harian Metro

Mengaku miliki lima isteri

-

Segamat: Pemilik sebuah pusat karaoke di Jalan Genuang, di sini, tidak sempat balik modal apabila premis yang dibuka hanya selama beberapa jam diserbu polis dalam Op Noda kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Malah, tindakan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga pekerja premis berkenaan mengaku mempunyai lima isteri warga asing dan membawa mereka berhibur di pusat hiburan berkenaan membawa padah apabila semua wanita itu lebih sanggup ditahan polis daripada mengaku lelaki terbabit sebagai pasangan mereka.

Ketua Polis Daerah Segamat Superinten­dan Raub Selamat berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai yang bimbang pembukaan premis berkenaan akan membawa pengaruh buruk kepada anak mereka.

“Penduduk memberitah­u setiap perkembang­an pembukaan premis berkenaan kepada kami dan apabila ia dibuka selama beberapa jam, sepasukan anggota dan pegawai melakukan serbuan. “Apabila kami memasuki premis berkenaan, lelaki itu berada di tempat duduk pelanggan dan pada mulanya mendakwa membawa semua lima isterinya yang juga warga asing ke pusat hiburan itu kerana mahu berlaku adil kepada mereka.

“Walaupun ia tidak masuk akal, kita tetap jalankan siasatan dan apabila disoal, lima wanita berusia 33 hingga 39 tahun itu yang semuanya wanita warga Vietnam, China dan Indonesia tidak mengaku lelaki terbabit suami mereka dan lebih sanggup ditahan polis.

“Pada masa sama, pemeriksaa­n mendapati kelima-lima wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kelima-lima wanita itu bekerja sebagai pelayan pelanggan dan dikenakan bayaran tertentu untuk menemani mana-mana lelaki yang berhibur di pusat hiburan itu.

Katanya, lelaki berkenaan dipercayai pekerja premis ditahan bersama lima wanita itu dan ketika serbuan dilakukan, tiada pelanggan berada di dalam premis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia