Zainal pertahan gelaran ‘Champ of The Champs’
Bukit Mertajam: Wakil Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mempertahankan gelaran ‘Champ of The Champs’ sebanyak lima kali berturut-turut pada kejohanan bina badan antara perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (Mr ATM 2017) di Mydin Mall, Jalan Baru, baru-baru ini.
Koperal Udara Zainal Arif Zainal Arifin, 28, berkata, sebelum bergelar ‘Champ of The Champs’ bagi kategori 70kg ke atas, dia turut berjaya merangkul johan bagi kategori light middle (75-80kg).
Menurutnya, ia kemenangan kali kelima sejak pembabitannya dalam kejohanan itu pada 2013 selain mula berkhidmat dalam TUDM sejak 2008 dan terus aktif dalam sukan bina badan.
“Minat mula timbul sejak berusia 17 tahun dan penyertaan pertama adalah pertandingan Mr Gym Rakyat pada 2007 ketika berusia 18 tahun, sekali gus menduduki tempat keempat dalam kategori terbuka remaja.
“Selain didorong bapa, TUDM turut memberi suntikan semangat selain membekalkan makanan tambahan untuk saya memperoleh kejayaan terbaik ini dan berharap untuk bergelar Mr Universe satu hari nanti,” katanya yang turut memenangi kejohanan FM Liga Asia kategori terbuka di Singapura pada 22 Oktober lalu.
Kejohanan itu dirasmikan Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar.
Zainal berkata, berlatih selama empat jam sehari dalam dua sesi pagi dan petang serta menjaga pemakanan dengan mengurangkan pengambilan minyak dan gula antara resipi kejayaannya yang terus dipraktikkan hingga ke hari ini.
Sementara itu, wakil Tentera Darat, Mohd Hamiruddin Haron, 34, berkata, dia bersyukur apabila memenangi ‘Champ of The Champs’ bagi kategori 70 kg ke bawah dan lightweight (70 kg ke bawah) pada kejohanan itu.
“Persediaan rapi selama enam bulan dari segi penjagaan makan, disiplin dalam latihan pagi dan petang serta mengambil masa berlatih selama 40 minit pada sebelah malam menjadi faktor kejayaan ini.”