Harian Metro

Hafizul sedia jadi benteng terakhir pasukan

-

Buriram: Penjaga gol negara, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy bersedia untuk menjadi benteng terakhir skuad Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, malam ini.

Sedar kemungkina­n penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) Izham Tarmizi Roslan akan menjadi pilihan utama jurulatih Nelo Vingada, Hafizul bagaimanap­un menegaskan dia tidak kisah siapa yang akan diturunkan pada perlawanan penting itu nanti.

“Saya sentiasa bersedia sekiranya menjadi pilihan jurulatih. Namun, kali ini persaingan di posisi itu memang sengit dengan adanya Izham dan Khairul Azhan Khalid.

“Apapun, itu semua tidak penting kerana saya tahu siapa saja yang bakal diturunkan nanti pasti akan beraksi pada tahap terbaik untuk membantu negara,” katanya pada sidang media praperlawa­nan di Stadium I-Mobile, semalam.

Hafizul dilihat menjadi pilihan utama Vingada dalam dua aksi berdepan Hong Kong sebelum ini, namun ketika itu Izham tidak berada dalam skuad Harimau Malaya.

Mengulas mengenai peluang Harimau Malaya untuk menewaskan Korea Utara, Hafizul menjelaska­n peluang seimbang dimiliki kedua-dua pasukan.

“Pemilihan stadium ini adil buat kedua-dua pasukan kerana stadium ini antara yang terbaik di Thailand.

“Malah, persiapan singkat Harimau Malaya bukan alasan untuk kami tidak memberi aksi terbaik. Kami akan bermain mati-matian untuk memperoleh kemenangan,” katanya. Buriram: Jurulatih Korea Utara, Jorn Andersen

menegaskan beliau tahu ‘ramuan’ yang akan digunakan Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, malam ini.

Andersen menjelaska­n, pasukannya sudah tiga kali melakukan persiapan untuk berdepan Malaysia sebelum ia ditunda kerana masalah ketegangan politik yang melanda Korea Utara.

Malah, jurulatih kelahiran Norway itu menganggap penundaan perlawanan sebelum ini memberi kebaikan buat pasukannya selepas Malaysia terpaksa tampil tanpa beberapa tonggak utama termasuk Aidil Zafuan Radzak dan kapten Safiq Rahim yang digantung.

“Sudah pasti saya tahu banyak perkara mengenai Malaysia selepas tiga kali melakukan persiapan untuk berdepan mereka. Ia termasuk melihat corak permainan mereka menerusi rakaman video.

“Malah, penundaan perlawanan sebelum ini juga memberi kelebihan kepada kami dengan beberapa pemain mereka menerima kad merah ketika berdepan Hong Kong.

“Memang kami tewas 0-5 kepada Lubnan pada aksi sebelum ini, tapi saya fikir kami lebih bersedia untuk perlawanan kali ini,” katanya semalam.

Pada masa sama, Andersen turut menyifatka­n pemain Harimau Malaya mempunyai kelebihan kerana dilihat sudah biasa dengan keadaan cuaca di Thailand.

“Bagi saya, peluang seimbang buat kedua-dua pasukan kerana kami dan Malaysia menghuni dua tangga tercorot Kumpulan B.

“Namun, cuaca di sini (Thailand) seakan sama di Malaysia dan saya fikir ia memberi sedikit kelebihan kepada pemain lawan kerana sudah biasa dengan cuaca sebegini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia