Harian Metro

MANGSA BARU BELI BOT

- Shahrul Nizam Mohamad am@hmetro.com.my

Dua penduduk Pulau Tioman yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada tengah hari Rabu lalu dipercayai baru membeli bot yang dinaiki itu tanpa membuat pemeriksaa­n mengenai tahap keselamata­nnya.

Sumber berkata, bot itu dibeli salah seorang dengan harga RM70,000 melalui seorang lelaki di Endau.

“Mangsa sudah lama membuat perjanjian dengan pemilik bot berkenaan dan dinasihatk­an supaya mencuba dulu sebelum dibawa pulang ke rumah namun mangsa tidak mencubanya terlebih dulu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, nasib kedua-dua mangsa masih belum diketahui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superinten­dan Azli Mohd Noor berkata, operasi SAR diteruskan dengan penambahan aset baru milik Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) iaitu helikopter untuk tinjauan udara.

“Operasi itu turut disertai tiga agensi iaitu polis, Jabatan Taman Laut Malaysia Pahang selain dibantu penduduk Pulau Tioman namun tiada petunjuk,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, mangsa dikenali sebagai Amat Muhamad, 50, dan Mohd Abdul Lattif Kasim, 20, hilang selepas bertolak menaiki bot laju dari Jeti Sungai Puteri pada jam 1.30 tengah hari.

Mereka dalam perjalanan untuk pulang ke pulau peranginan itu namun dipercayai hilang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia