Harian Metro

1,300 TEBUSAN

 Pemisah bersenjata tawan dua kampung di Papua

- AFP

Kumpulan pemisah bersenjata menawan dua kampung berhampira­n lombong tembaga terbesar milik Amerika Syarikat di wilayah Papua, kata polis semalam, yang berusaha menamatkan ketegangan berkenaan.

Kira-kira 1,300 penduduk dijadikan tebusan 24 anggota pemisah yang didakwa pihak berkuasa sebahagian daripada kumpulan Pergerakan Kebebasan Papua (OPM).

Penduduk kampung dihalang daripada keluar atau masuk ke kawasan berkenaan sejak dua hari lalu, namun setakat ini tiada kecederaan dilaporkan, kata pihak berkuasa. Kira-kira 700 anggota tentera bersenjata Indonesia mengawasi keadaan.

“Mereka daripada kumpulan penjenayah yang melakukan keganasan dan pemerasan. Apa yang mereka mahukan adalah perang.

“Buat masa ini kami memberi keutamaan kepada langkah awal dan pencegahan. Kami masih tidak mara kerana kami tidak mahu penduduk kampung menjadi mangsa,” kata ketua polis tempatan, Victor Dean Macbon.

Perkampung­an berkenaan terletak berhampira­n lombong milik syarikat Freeport-McMoRan, tempat berlakunya beberapa siri tembakan termasuk satu pada akhir Oktober lalu yang menyebabka­n seorang anggota polis maut.

Pegawai semalam berkata, mereka berkomunik­asi dengan pemimpin keagamaan dan komuniti tempatan dalam usaha menamatkan ketegangan.

Jurucakap polis Papua, Suryadi Diaz berkata, kumpulan berkenaan cuba mengganggu aktiviti di lombong berhampira­n dan mendesak polis tidak campur tangan.

Bagaimanap­un, tidak diketahui sama ada kumpulan terbabit membuat tuntutan tertentu.

Ketua ketenteraa­n Indonesia, Gatot Nurmantyo memberi amaran yang tentera bersedia untuk menamatkan situasi itu ‘dengan cara keras’ sekiranya rundingan tidak berjaya.

Sementara itu, pegawai Suruhanjay­a Hak Asasi Kebangsaan Natalius Pigai menafikan penduduk dijadikan tebusan sebaliknya mendakwa kumpulan berkenaan melindungi penduduk daripada polis serta tentera.

“Mereka bukan tebusan. Mustahil kumpulan itu menyakitka­n penduduk kampung kerana termasuk keluarga mereka sendiri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia