Harian Metro

USAH MUDAH TERJERAT PANGGILAN PALSU

-

Mutakhir ini masyarakat dikejutkan dengan tindakan licik sekumpulan penjenayah yang cuba memerangka­p mangsa dengan beberapa panggilan palsu. Taktik baru ini dikatakan mula menjadi trend dalam kalangan penjenayah kolar putih yang bijak memerangka­p mangsa dengan mengambil kesempatan dalam pelbagai keadaan dan situasi sehingga mangsa tidak sedar yang mereka sebenarnya ditipu.

Antara panggilan telefon palsu yang popular membabitka­n institusi kewangan seperti bank dan juga pihak berkuasa seperti polis. Penjenayah sering membuat panggilan palsu dengan mendakwa mereka membuat panggilan daripada bank mahupun polis supaya mangsa mudah percaya dan menuruti segala arahan mereka tanpa syak mahupun curiga. Walaupun pelbagai kes didedahkan dalam media termasuk ditularkan dalam media sosial di samping langkah polis yang memberi nasihat dan peringatan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati, namun nampaknya kes jenayah panggilan palsu ini terus mencengkam dan mengancam masyarakat.

Mengikut laporan, pihak polis dikatakan mula menerima laporan daripada mangsa yang terpedaya dengan panggilan palsu berkenaan yang dikategori­kan sebagai

telecommun­ication fraud atau Macau Scam.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, siasatan mendapati penipuan seperti ini banyak didalangi sindiket dari Taiwan dan China yang menggunaka­n talian antarabang­sa dari Hong Kong dan juga tempatan.

Macau Scam dikatakan membabitka­n empat kategori modus operandi iaitu cabutan bertuah (lucky draw), tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing penyamaran sebagai pegawai polis atau agensi kerajaan dan spoofing penyamaran sebagai pegawai

Bank Negara Malaysia (BNM) atau bank komersial. Spoofing adalah teknik di mana pemanggil (ahli sindiket) akan berkomunik­asi menggunaka­n platform voice over

internet protocol (VoIP) bagi membolehka­n pemanggil meletakkan sebarang nombor untuk memperdaya mangsa bahawa panggilan itu daripada nombor yang tertera di skrin. Malah, menurut pihak polis, selain empat modus operandi terbabit, polis turut mengesan helah dan taktik lain yang digunakan sindiket penipuan terbabit untuk memperdaya mangsa antaranya dakwaan langgar lari dan gagal membayar hutang pinjaman bank atau institusi kewangan.

Secara terperinci­nya modus operandi penipuan cabutan bertuah (lucky draw) berlaku dalam situasi di mana pengadu menerima panggilan telefon mendakwa memenangi pertanding­an cabutan bertuah bernilai jutaan dolar dari syarikat Hong Kong atau Macau. Pemanggil kemudian memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya mangsa mahu menuntut hadiah berkenaan. Setelah bersetuju, pengadu dikehendak­i membayar cukai dan insurans dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah terbabit. Setelah selesai transaksi, pemanggil gagal dihubungi dan wang hadiah yang dijanjikan tidak diterima.

Spoofing penyamaran sebagai pegawai polis atau agensi kerajaan pula berlaku apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai mahkamah atau polis dan mendakwa mangsa terbabit dengan kegiatan haram seperti along, kongsi gelap dan pengedaran dadah. Mangsa kemudian diminta memindahka­n wang daripada akaun banknya ke akaun tertentu, kononnya untuk mengelakka­n akaun mangsa dibekukan pihak berkuasa. ‘Spoofing’ penyamaran pegawai BNM atau bank komersial (kad kredit) pula berlaku apabila mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank dan mendakwa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. Mangsa kemudian diarahkan untuk menghubung­i seseorang kononnya pegawai BNM bagi mengelakka­n nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan. Mangsa akhirnya diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke akaun tertentu melalui e-Banking atau melalui mesin deposit tunai (CDM). Di samping itu penjenayah juga menggunaka­n taktik tipu culik dan minta wang tebusan di mana mangsa akan menerima panggilan daripada seseorang memaklumka­n kononnya anak atau saudara mangsa diculik. Mangsa diperdaya memindahka­n wang tebusan ke akaun pihak ketiga yang diberikan pemanggil.

Jelas di sini sindiket jenayah ini bijak memerangka­p mangsa mengikut situasi dan keadaan sehingga kita tidak sedar yang kita sebenarnya sedang diperangka­p. Justeru, bagi mengelak agar masyarakat terus menjadi mangsa jenayah terancang ini elok kita memberi perhatian kepada peringatan dan nasihat daripada pihak polis, antaranya kita tidak perlu panik dan jangan mengikut arahan yang diberikan pemanggil yang kita tidak kenali. Putuskan panggilan dan terus menghubung­i pihak polis atau institusi kewangan terbabit untuk tujuan pengesahan.

Kita juga diingatkan supaya jangan menghubung­i semula nombor telefon yang diterima itu, sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut. Dan bagi memastikan duit kita selamat diingatkan agar jangan sesekali mendedahka­n nombor akaun bank, nombor kad pengeluara­n wang automatik (ATM) atau kad kredit kepada orang yang tidak dikenali.

Manakala, bagi yang menerima apa jua pautan melalui mesej teks diingatkan jangan klik pada sebarang pautan begitu saja kerana ia boleh mengundang padah dengan mendedahka­n pelbagai data peribadi kita kepada pihak luar. Dan akhirnya jika kita dapati ada panggilan yang meragukan atau menjadi mangsa penipuan perlu segera membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. Hal ini penting kerana ada kemungkina­n jika kita membuat laporan pihak berkuasa dapat bertindak dengan segera dan dapat menghalang sebarang perbuatan jenayah yang mereka rancang.

Masyarakat perlu memainkan peranan ini supaya kita juga dapat membantu agar tidak ada lagi rakyat kita menjadi mangsa penjenayah seperti ini. Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan, pihaknya menerima banyak pertanyaan termasuk menerima sehingga 200 panggilan telefon sehari mengenai kesahihan panggilan itu palsu, namun tidak ada seorang pun mangsa yang membuat laporan kerana ditipu setakat ini. Ini menyebabka­n pihak polis tidak dapat mengesan sindiket ini, misalnya menjejak mereka melalui nombor akaun bank dan tidak ada maklumat berapa ramai yang sudah terpedaya sehingga sekarang. Jadi masyarakat tidak perlu takut mahupun malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana ia tidak akan memberi apa-apa kesan negatif kepada pengadu sebaliknya akan membantu pihak berkuasa membantera­s sindiket penipuan seperti ini daripada terus berleluasa dalam negara kita. Semoga pendedahan demi pendedahan beberapa kes yang berlaku di samping peringatan berterusan daripada pihak berkuasa menjadi iktibar kepada kita semua agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sindiket panggilan palsu seperti ini.

Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an UPM

Macau Scam dikatakan membabitka­n empat kategori modus operandi iaitu cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing penyamaran sebagai pegawai polis atau agensi kerajaan dan spoofing penyamaran sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) atau bank komersial

 ??  ?? Noor Mohamad Shakil Hameed
Noor Mohamad Shakil Hameed

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia