Harian Metro

Redah air paras pinggang pulang ke rumah

-

Hulu Langat: “Saya terpaksa redah air separas pinggang sejauh satu kilometer untuk sampai ke rumah dan lihat banyak perabot dalam rumah ditenggela­mi air,” kata Zulkafli Baharuddin, 54, seorang penduduk Kampung Sungai Serai, Batu 11 Setengah, di sini, dilanda banjir malam kelmarin.

Zulkafli berkata, ketika air naik, dia bekerja dan bergegas pulang sebaik adik perempuann­ya memaklumka­n bahawa air mula memasuki rumah jam 5 petang.

Katanya, sebaik sampai di Batu 10 jam 6 petang, air sudah memenuhi kawasan itu sebelum mengambil keputusan meredah banjir berkenaan hampir satu jam untuk sampai ke rumah.

“Waktu itu memang air tinggi. Bila saya sampai rumah air separas pinggang.

“Disebabkan di rumah pada waktu itu hanya ada adik perempuan saya saja, barang-barang besar seperti kerusi, sofa, meja dan almari dan pakaian tak sempat untuk dipindahka­n ke bahagian rumah lebih tinggi,” katanya ketika ditemui sedang membersihk­an bahagian rumahnya yang berlumpur selepas banjir surut semalam.

Tinjauan Metro Ahad di kawasan berkenaan pada jam 3 petang semalam mendapati banjir surut sepenuhnya dan hanya tinggal 18 mangsa daripada enam keluarga menduduki pusat pemindahan banjir di Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras semalam, berbanding 77 mangsa yang daripada 15 keluarga dilaporkan malam kelmarin.

Sementara itu, tinjauan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai, hanya tinggal tidak sampai 15 mangsa banjir berikutan selebihnya sudah pulang bagi melihat dan membersihk­an rumah masing-masing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia