Harian Metro

SIMPANAN LWN PELABURAN

-

Memahami fungsi berbeza kedua-dua instrumen beri kesan besar kepada tabungan

Menjelang November dan Disember setiap tahun, pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) sudah mula mengira jumlah dividen bakal diumumkan tabung itu.

Pasti ramai yang memasang angan untuk menggunaka­n wang dividen bakal diterima kelak bagi merealisas­ikan matlamat kewangan diidamkan.

Dalam mengira jumlah dividen bakal diperoleh, elok juga sekiranya pelabur memahami mengenai dua ciri ASB yang unik iaitu harga tetap dan kecairan tinggi.

Sebagai sebuah tabung unit amanah, dua ciri unik berkenaan menyebabka­n ASB dilihat seperti akaun simpanan dan bukannya akaun pelaburan sedangkan unit amanah ialah instrumen pelaburan.

Menurut seorang penasihat pelaburan, pelaburan dan simpanan merupakan dua konsep unik yang nampak sama, tetapi sebenarnya berbeza terutama dari segi ciri produk serta pulangan diterima.

Memahami perbezaan antara kedua-duanya akan memberi impak besar kepada kejayaan seseorang dalam membina tabungan kukuh dan mencapai matlamat kewangan.

Simpanan secara mudahnya ialah menyimpan wang untuk tujuan keselamata­n dan ia boleh dikeluarka­n pada bila-bila masa. Contohnya, menyimpan di bank atau peti keselamata­n untuk melindungi­nya daripada dicuri, hilang atau rosak.

Namun wang yang disimpan tidak perlu dalam jumlah yang terlalu banyak kerana biasanya simpanan tidak memberikan pulangan.

Pun begitu, penting untuk mempunyai akaun simpanan bagi tujuan sara hidup diri dan keluarga atau pada waktu kecemasan.

Pelaburan pula ialah apabila kita meletakkan wang dalam instrumen kewangan atau aset seperti bon, unit amanah dan saham dengan harapan memperoleh pulangan serta ia biasanya membabitka­n risiko selain memerlukan tempoh yang agak panjang.

Pelabur ASB seharusnya menganggap pelaburan mereka dalam ASB sebagai pelaburan dan bukannya simpanan.

Selagi ASB dianggap sebagai simpanan, pelabur tidak akan dapat menikmati manfaat daripada pulangan tahunan tinggi yang diberikan ASB.

Kesilapan inilah yang menyebabka­n pelabur gagal membina tabungan kukuh walaupun sudah lama melabur sedangkan ASB tidak pernah gagal memberi agihan pendapatan purata kira-kira 8 peratus sejak dilancarka­n.

Pulangan ASB ini adalah jauh lebih tinggi berbanding akaun simpanan yang hanya memberi pulangan sekitar satu hingga dua peratus setahun.

Untuk menerima dividen penuh, pelabur perlu mempunyai jumlah simpanan konsisten dalam akaun, lebih-lebih lagi kerana pengiraan dividen berdasarka­n baki terendah setiap bulan dalam akaun ASB pelabur.

Pelabur ASB sepatutnya mempunyai akaun simpanan yang cukup untuk membiayai kos sara hidup dan keperluan kecemasan serta tidak mengeluark­an pelaburan dalam ASB sekiranya tidak benar-benar terpaksa.

Hanya dengan cara ini mereka akan menikmati pulangan daripada pelaburan mereka.

Jika mereka terus menerus melabur untuk jangka panjang, tidak mustahil wang dilaburkan terus bertambah dari tahun ke tahun.

Antara kesilapan kerap dilakukan pelabur ASB ialah mengeluark­an dividen diterima walaupun mereka tidak memerlukan wang berkenaan dan ini menyebabka­n pelaburan mereka tidak berkembang seperti sepatutnya.

Berdasarka­n konsep kuasa faedah kompaun, wang pelaburan hanya akan berkembang jika dividen dilaburkan semula dan modal pelaburan tidak dikeluarka­n untuk satu tempoh yang panjang.

Justeru, untuk pengurusan kewangan lebih cekap, apa yang perlu dilakukan ialah memindahka­n wang daripada akaun simpanan ke ASB untuk melabur dan menggunaka­n baki yang ada bagi membayar hutang, bil dan untuk kos sara hidup.

Wang yang sudah diketepika­n untuk pelaburan jangan pula dikeluarka­n pada pertengaha­n atau hujung bulan supaya ia kekal dalam akaun untuk jangka panjang dan akhirnya membolehka­n kita mempunyai tabungan yang kukuh pada masa depan.

Menerusi cara ini, pelabur berupaya mempunyai akaun simpanan untuk kegunaan harian dan juga akaun pelaburan untuk mencapai matlamat yang

diimpikan.

 ??  ?? MULAKAN pelaburan daripada sekarang untuk tabungan kukuh pada masa depan.
MULAKAN pelaburan daripada sekarang untuk tabungan kukuh pada masa depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia