Harian Metro

15 rumah, 1 bot nelayan dijilat api

-

Sebanyak 15 rumah nelayan dan dua rumah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Tok Pi, Kuala Perlis, di sini, semalam.

Dalam kejadian 2 pagi itu, sebuah bot nelayan berlabuh berhampira­n penempatan nelayan berkenaan turut terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Saksi kejadian, Muhammad Munzir Bukhori, 22, berkata, ketika itu, dia baru pulang dari restoran di Kuala Perlis dan sebaik melalui kawasan itu dia terkejut melihat sebuah rumah terbakar.

Menurutnya, dia kemudian terus memaklumka­n kepada peniaga burger berhampira­n supaya memaklumka­n kejadian berkenaan kepada orang kampung sebelum ke balai polis untuk melaporkan kebakaran itu.

“Saya kemudian datang semula ke lokasi kebakaran namun ketika itu api semakin marak dan merebak ke rumah lain.

“Malah nelayan warga Thailand yang mendiami kawasan itu juga cuba menyelamat­kan bot yang berada di situ,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Muhammad Munzir berkata, penempatan rumah nelayan berkenaan dijadikan sebagai pelantar oleh pengusaha tempatan dan diduduki nelayan warga Thailand.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perlis, Mohd Fadzil Haroon berkata, pihaknya menerima laporan jam 2.30 pagi dan tiba 15 minit kemudian.

“Seramai 40 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)

Kuala Perlis, Kangar dan Simpang Empat, dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba api sedang marak membabitka­n kebakaran 15 rumah kelas B dan C termasuk dua kedai runcit musnah 100 peratus selain sebuah bot turut terbakar.

“Kebakaran berjaya dikawal sejam kemudian dan kita masih menyiasat punca kebakaran serta nilai kerugian,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia