Harian Metro

Chong Wei tetap enggan ke Dubai

- Helmi Talkah helmi.talkah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh perseorang­an negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui dia tidak akan beraksi pada Siri Super Akhir di Dubai bulan depan sekalipun layak secara merit.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, saingan Terbuka China bermula Selasa ini dan Terbuka Hong Kong (21 hingga 26 November) adalah yang terakhir buatnya tahun ini.

“Kalau saya layak pun, saya belum pasti akan bermain di Dubai. Saya perlu fikirkan semula nanti. Buat masa sekarang, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong dua kejohanan terakhir saya.

“Selepas itu, saya mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Saya perlu berlaku adil dengan keluarga saya kerana selama ini mereka banyak berkorban dan sentiasa memberi sokongan kepada saya,” kata Chong Wei.

Berdasarka­n kedudukan ranking Siri Super, Chong Wei ketika ini menghuni tangga kelapan dan jika berjaya melakar keputusan positif di Terbuka China dan Hong Kong, slot untuknya ke Dubai sudah terjamin.

Hanya lapan pemain terbaik dalam kedudukan ranking Siri Super layak beraksi di Dubai - kejohanan kemuncak saingan Siri Super yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruha­n AS$1 juta (RM4.19 juta).

Chong Wei akan membuka tirai saingan di China menentang pemain Taiwan, Hsu Jen Hao.

Kalau saya layak pun, saya belum pasti akan bermain di Dubai. Saya perlu fikirkan semula nanti. Buat masa sekarang, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong dua kejohanan terakhir saya”

Lee Chong Wei

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia