Harian Metro

LMFA saran pengurusan KFA ditukar

- Mohd Fitrie Muhamad mfitrie@bh.com.my

Kuala Lumpur: “Demi pasukan Kedah, lebih baik pemilihan tampuk kepimpinan baharu dibuat sekarang sebelum terlambat.”

Itu pendirian Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) yang kekal mahu melihat berlaku pertukaran dalam barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang kini diketuai Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Pengerusi LMFA, Wan Syazwan Wan Fadzelah, berkata keputusan Ahli Majlis Eksekutif KFA mahu mengekalka­n Ahmad Bashah disifatkan dibuat berpaksika­n sebelah pihak tanpa mengambil kira kemahuan penyokong yang juga ‘pemegang taruh’ dalam industri bola sepak negeri itu.

“Penyokong sudah beri masa kepada pengurusan untuk tambah baik tetapi apa hasilnya. Kami juga berhak tahu cara pengurusan KFA terutamany­a apabila sering dilanda masalah terutamany­a dalam hal membabitka­n penjualan tiket.

“Adakah kita mahu terus lihat kejadian sama berlaku pada musim 2018? Dalam hal ini, kami sangat bersetuju dengan apa yang dikatakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Mereka kata persediaan pasukan akan terjejas jika ada peralihan jawatan secara tergesa-gesa. Bagi penyokong, sekarang masa yang sesuai untuk buat perubahan kerana Liga Malaysia (Liga M) belum lagi bermula.

“Kami bercakap berdasarka­n pengalaman. Kita lihat apa jadi kepada pasukan apabila berlaku peralihan jurulatih selepas Tan Cheng Hoe menyertai pasukan kebangsaan. Jadi dalam hal ini, lebih baik berlaku perubahan sekarang daripada ketika Liga M sedang berlangsun­g,” katanya.

Terdahulu isu peletakan jawatan itu timbul ekoran cadangan dan desakan beberapa pihak terutama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pemuda UMNO Negeri Kedah supaya Ahmad Bashah selaku Presiden KFA meletak jawatan.

Namun pada sidang media kelmarin, Ahli Majlis Eksekutif KFA dan 36 ahli kelab gabungan bersetuju sebulat suara bahawa jawatan presiden yang kini disandang Ahmad Bashah dikekalkan.

Bagaimanap­un, Wan Syazwan menegaskan desakan itu tidak berunsurka­n serangan peribadi terhadap Ahmad Bashah kerana apa yang dimahukan adalah perubahan di setiap lapisan kepimpinan KFA.

“Suara penyokong juga wajar didengar kerana sudah pasti sebarang pandangan adalah demi kebaikan pasukan Kedah. Dalam hal ini, penyokong bukan hanya mahu Menteri Besar melepaskan jawatan tetapi perubahan perlu dilakukan dari pelbagai lapisan kepimpinan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia