Degil pilih mat Bangladesh

Harian Metro - - Setempat -

Gombak: Amaran sudah diberikan namun masih ramai pengusaha stesen minyak berdegil apabila menggaji ‘mat Bangladesh’ dan ‘mat Nepal’ untuk bekerja di premis mereka.

Tindakan itu mengundang padah apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dua stesen minyak di Selayang di sini, kelmarin.

Hasil serbuan bermula jam 6.30 petang hingga 10 malam itu, seramai 67 warga asing ditahan termasuk pendatang tanpa izin (PATI) bekerja tanpa permit, tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan sosial.

Pengarah JIM Selangor, Omran Omar berkata, pemeriksaan mengejut turut dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Selayang di sini.

Menurutnya, semua premis itu pernah diserbu sebelum ini namun pemiliknya masih menggaji PATI.

“Ketika diserbu, sekumpulan pekerja warga asing terkejut dan tidak menyangka pusat beli-belah dan stesen minyak itu diperiksa.

“Hasil serbuan Ops Ikrar itu seramai 132 pendatang asing diperiksa sebelum 67 daripadanya ditahan,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 43 tahun membabitkan 41 warga Indonesia, 15 Bangladesh, masing masing empat warga Pakistan dan India, dua Myanmar dan seorang Sri Lanka.

“Pemeriksaan mendapati mereka yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, pas tamat tempoh dan menyalahgunakan pas.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk tindakan lanjut.

OPERASI Jabatan Imigresen Selangor di stesen minyak dan pusat beli-belah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.