Harian Metro

‘Sudah dua kali saya bangkitkan dalam sidang DUN’

-

Kuantan: “Sudah dua kali saya bangkitkan perkara ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jawapan saya terima amat mendukacit­akan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung mengenai isu penjarahan dan penggondol­an Bukit Sekilau.

Katanya, dia pernah membangkit­kan soal projek pembanguna­n yang ingin dilakukan di kawasan bukit itu dan harga pembelian tanah di kawasan berkenaan dalam sidang DUN beberapa bulan lalu namun tiada jawapan konkrit diperoleh.

Beliau turut mendakwa, pembelian tanah di kawasan bukit itu tidak dilakukan dengan telus selain ia dijual kerajaan negeri di bawah harga pasaran.

“Berikutan itu, saya sudah membuat laporan kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos lalu untuk menyiasat perkara ini.

“Saya dimaklumka­n kertas siasatan sudah dibuka namun hasilnya masih belum diketahui sehingga ke hari ini,” katanya.

Katanya, dia turut bersimpati dengan nasib penduduk yang terpaksa berdepan situasi tidak selesa akibat aktiviti kuari di kawasan perumahan mereka.

Lee memaklumka­n, ada beberapa penduduk menemuinya mengadu mengenai masalah gangguan bunyi dan kenderaan berat keluar masuk di kawasan kediaman dan dia menasihati mereka membuat laporan polis.

Beliau turut mendakwa pernah menghubung­i pemaju tapak projek berkenaan untuk membincang­kan permasalah­an yang timbul dan bersedia menjadi ‘orang tengah’ antara penduduk serta pemaju bagi menyelesai­kan perkara itu namun segalanya menemui jalan buntu.

“Saya cuba menghubung­i mereka beberapa kali namun pihak pemaju seolah-olah enggan memberi kerjasama, surat rasmi juga dihantar kepada mereka namun tiada jawapan balas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia