Harian Metro

Ventura mohon maaf kepada rakyat Itali

-

Milan: Jurulatih Itali, Gian Piero Ventura menafikan beliau akan meletak jawatan tetapi memohon maaf kepada seluruh rakyat Itali selepas skuad kendaliann­ya gagal layak ke Piala Dunia 2018.

Itali tersingkir dalam laluan ke Russia selepas tewas 0-1 secara agregat kepada Sweden susulan keputusan seri 0-0 pada perlawanan playoff kedua, semalam di laman sendiri.

Bercakap dengan nada sama seperti ketika beliau dilantik 18 bulan lalu, Ventura berkata, beliau tidak akan memutuskan sendiri masa depannya sebelum berjumpa dengan Persekutua­n Bolasepak Itali (FIGC).

“Saya tidak meletakkan jawatan kerana saya belum lagi bercakap dengan Presiden FIGC (Carlo Tavecchio),” kata pengendali berusia 69 tahun itu.

“Saya memohon maaf kerana keputusan ini tapi tidak atas usaha yang kami berikan dalam mencapai kemenangan.

“Ia keputusan yang amat buruk dari sudut kesukanan. Saya kecewa. Saya berterima kasih kepada peminat di San Siro kerana terus menyokong pasukan sehingga akhir.

“Saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan bekerja dengan juara yang hebat,” katanya.

Ventura begitupun berkata, beliau mengetahui mengenai persaraan beberapa pemain bintang veterannya termasuk kapten, Gianluigi Buffon, 39.

“Kami mengetahui beberapa pemain veteran mengucapka­n selamat tinggal. Sasarannya adalah Piala Dunia. Kami akan menghadapi masalah ini dengan persekutua­n.

“Tiada apa yang boleh saya katakan ketika ini.” - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia