Harian Metro

TEBUSAN JERAT PERCINTAAN

 Helah wanita dakwa diculik ikut teman lelaki

- Ayusliza Azizan am@hmetro.com.my

Helah seorang isteri kononnya dia diculik penjenayah terbongkar apabila ‘mangsa’ mengaku melarikan diri bersama seorang lelaki sebelum ditemui polis di Meru, di sini, pagi kelmarin.

Kejadian berlaku jam 4.30 petang Jumaat lalu apabila wanita berusia 40 tahun itu tidak muncul ketika suami mahu mengambiln­ya pulang dari tempat kerja di sebuah sekolah di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, mangsa yang bertugas sebagai pekerja pembersiha­n di sekolah itu tidak pulang pada hari berkenaan.

Menurutnya, suami mangsa berusia 55 tahun menerima panggilan daripada individu tidak dikenali keesokan harinya.

“Individu itu meminta suami mangsa sediakan wang tebusan RM5,000 jika mahu isterinya dibebaskan.

“Bimbang dengan keselamata­n isteri, suaminya yang bekerja sebagai mekanik melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya, semalam.

Beliau berkata, hasil risikan , sepasukan polis dari cawangan IPD Klang Utara menahan seorang wanita dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu jam 9.30 pagi kelmarin di daerah ini.

Susulan penahanan itu, polis menemui mangsa di hadapan Restoran Aliff Maju Jalan Meru, di sini, jam 11.30 pagi kelmarin.

Beliau berkata, ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan baik.

Katanya, polis menahan suspek yang dipercayai teman lelaki ‘mangsa’ jam 3.10 petang kelmarin di pondok pengawal keselamata­n di kawasan perindustr­ian di Kapar.

“Hasil soal siasat, mangsa mengaku tidak diculik, tetapi melarikan diri kerana bimbang dipukul jika suami mengetahui hubunganny­a dengan suspek.

“Suspek, wanita dan mangsa direman empat hari mulai semalam hingga Jumaat ini untuk siasatan dan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia