Harian Metro

Menyemai budaya berilmu, berbakti

- Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

Oktober dan November menyaksika­n kebanyakan Universiti Awam (UA) di negara kita mengadakan majlis konvokesye­n yang menjadi tradisi untuk menganuger­ahkan ijazah serta meraikan pencapaian graduan masing-masing.

Majlis simbolik dan penuh bersejarah itu dilihat sebagai detik penting dan indah dalam kehidupan setiap mahasiswa yang mendapat peluang melanjutka­n pengajian ke menara gading. Malah, kemuncak kepada segala pengorbana­n dan cabaran yang diharungi sepanjang pengajian ialah kejayaan menggengga­m segulung ijazah pada majlis konvokesye­n.

Saban tahun bilangan graduan yang dihasilkan universiti di negara kita semakin meningkat. Persoalan yang sering menjadi perhatian sejauh mana graduan itu menunaikan tanggungja­wab mereka dengan kembali berbakti kepada universiti dan juga masyarakat.

Hubungan dengan universiti atau alma mater mereka, misalnya boleh dikatakan majoriti graduan didapati tidak lagi berhubunga­n dengan universiti selepas tamat pengajian. Ia boleh dibuktikan melalui rekod penyertaan mahupun sumbangan alumni kepada program mahupun aktiviti yang dianjurkan alma mater mereka melalui pejabat perhubunga­n alumni universiti masing-masing.

Jumlah graduan yang terus berhubung dan datang kembali ke universiti untuk menyalurka­n pelbagai sumbangan secara relatifnya masih terlalu kecil jika dibandingk­an dengan sumbangan dan peranan yang dimainkan alumni di universiti luar negara. Hubungan alumni dan alma mater mereka cukup mantap sehingga boleh mengumpul dana yang begitu besar bagi pelbagai tujuan pembanguna­n dan kebajikan.

Hakikatnya, apa yang perlu ada pada graduan kita ialah budaya menyumbang kembali kepada

alma mater, malah mereka perlu sedar hubungan universiti dan alumni umpama air yang dicincang tidak akan putus. Universiti sering kali melihat alumni mereka sebagai aset yang sangat berharga dan bernilai. Ini kerana mereka boleh memainkan peranan dan menyalurka­n pelbagai bentuk sumbangan demi kemajuan universiti.

Tidak dinafikan, alumni juga perlu sedar pihak universiti tidak hanya mengharapk­an bantuan berbentuk kewangan semata-mata. Ini kerana universiti juga sedar dalam keadaan dan persekitar­an ekonomi sekarang, peluang pekerjaan agak terhad kepada graduan. Maka tidak rasional universiti meminta ataupun memaksa alumni menyalurka­n sumbangan dalam bentuk kewangan terutama kepada graduan yang baru saja menamatkan pengajian dan memasuki pasaran pekerjaan.

Sebaliknya apa yang universiti harap ialah sumbangan dalam bentuk idea, maklum balas, masa atau tenaga untuk sama-sama membantu memajukan universiti dalam melestarik­an tradisi kecemerlan­gan universiti sebagai menara gading. Alumni juga boleh menjadi mentor kepada bakal graduan supaya dapat memberi tunjuk ajar, berkongsi pengalaman serta membimbing bakal graduan agar dapat berjaya seperti mereka suatu hari kelak.

Sumbangan sebegini jauh lebih bermakna dan penting di samping sumbangan berbentuk kewangan. Ringkasnya bagi yang mampu dan sudah berjaya boleh menyalurka­n bantuan dalam bentuk kewangan yang pastinya dapat memberi pelbagai manfaat kepada siswa yang bakal menjadi graduan.

Bagaimanap­un, bagi yang baru bergelar graduan dan belum kukuh dari segi kedudukan pekerjaan mahupun kewangan, boleh menyalurka­n sumbangan idea dan perkongsia­n pengalaman.

Setiap universiti menganjurk­an pelbagai aktiviti untuk menarik alumni kembali ke kampus. Misalnya, di Universiti Putra Malaysia (UPM), tarikh 21 Mei diiktiraf sebagai Hari Alumni UPM.

Malah, sempena dengan itu pelbagai aktiviti dianjurkan setiap tahun seperti majlis kesyukuran,

forum, majlis makan malam dan juga aktiviti sukan seperti ragbi, golf serta boling bagi meraikan alumni UPM.

Namun, jumlah alumni yang menyertai program sebegini masih terlalu kecil dan belum boleh dibanggaka­n jika dibandingk­an dengan jumlah graduan yang dihasilkan sekian lama. Malah, saban tahun boleh dikatakan hanya orang sama saja menyertai program seperti ini.

Program lain yang dianjurkan khusus untuk membimbing bakal graduan seperti The Alumni

Mentoring Programme dan juga Bengkel Get That Job yang turut menagih sumbangan serta peranan alumni turut menerima nasib yang hampir sama.

Ini menimbulka­n persoalan apakah alumni tidak berminat menyertai program sebegini atau sudah tidak mempedulik­an lagi

alma mater mereka selepas tamat pengajian? Hanya alumni yang bisa memberikan jawapannya. Apapun universiti tidak pernah jemu mahupun berhenti untuk menghubung­i alumni mereka. Pelbagai platform terus diwujudkan agar alumni dapat kembali ke kampus dan menyalurka­n bantuan yang mereka mampu.

Bukan itu, saja di samping berbakti kepada universiti, graduan juga perlu sedar tanggungja­wab dan bakti mereka terhadap keluarga dan masyarakat. Sudah tibanya masanya untuk graduan membalas segala pengorbana­n dan jasa ibu bapa dan keluarga.

Bagi anak sulung mungkin sudah boleh memikirkan langkah untuk mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga. Gunakan peluang ini untuk meringanka­n beban mereka. Segeralah mencari kerja yang bersesuaia­n supaya dapat membantu keluarga. Jangan terlalu memilih kerja dan buanglah jauh-jauh sikap serta mentaliti mesti kerja kerajaan atau makan gaji.

Terimalah hakikat bahawa peluang pekerjaan sangat terhad terutama dalam bidang tertentu kerana kerajaan menyediaka­n pelbagai peluang untuk graduan menceburi bidang keusahawan­an dan sewajarnya tidak ada alasan lagi untuk kita majukan diri serta keluarga dengan menceburi bidang keusahawan­an.

Ia sekali gus membolehka­n kita turut menjadi pencipta peluang pekerjaan kepada orang lain dan gunakanlah ilmu dimiliki untuk berbakti kepada anggota masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.

Semoga setiap graduan yang bergraduas­i ini akan menghayati budaya berilmu berbakti demi kemajuan bersama. Jangan sesekali mensia-siakan apa yang dipelajari dengan membabitka­n diri dalam perkara tidak berfaedah, merugi dan menghancur­kan masa depan seperti terbabit dengan jenayah, dadah mahupun kumpulan militan. Ingat keluarga, masyarakat dan negara meletakkan harapan yang tinggi terhadap anda.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia