Harian Metro

Buang ikan mola-mola selepas tiada pembeli

-

“Saya membuang ikan (mola-mola) itu di Sungai Mukah petang semalam (kelmarin) kerana tiada sesiapa mahu membelinya,” kata Shamsul Ketuk, 32, yang menangkap ikan mola-mola di perairan Laut China Selatan dekat Balingian, di sini, kelmarin.

Rakaman gambar Shamsul menangkap ikan itu mendapat perhatian netizen selepas tular sejak kelmarin apabila gambarnya membawa ikan terbabit ke Pasar Mukah dimuat naik orang ramai di laman sosial.

Menurutnya, selepas dua jam memasang pukat, dia terkejut menemui ikan itu tersangkut pada pukatnya.

“Ikan itu seberat hampir 80 kilogram dan saya hanya mengetahui ikan berkenaan dikenali sebagai ikan mola-mola selepas diberitahu rakan.

“Saya cuba menjual ikan itu namun tiada siapa mahu membelinya kerana bimbang ia beracun,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mengetahui sama ada ikan itu spesies ikan dilindungi atau sebaliknya namun dia membuangny­a jam 3 petang, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sarawak Belayong Nyuak berkata, spesies ikan itu jenis ikan tropika yang hidup di kawasan tertentu di perairan negeri ini.

Menurutnya, antara perairan dikesan sebagai habitat ikan berkenaan di Mukah dan Pulau Bruit di Sibu namun jumlahnya masih tidak diketahui.

“Kami ada menerima maklumat tangkapan ikan itu di Pulau Bruit sebelum ini, tetapi nelayan berkenaan melepaskan semula ikan terbabit,” katanya.

Mengikut Kesatuan Pemulihara­an Alam Antarabang­sa, ikan mola-mola yang turut dikenali sebagai ikan matahari tersenarai dalam Senarai Merah Spesies Terancam.

Ikan ini menjadi buruan dalam kalangan nelayan di Filipina, Taiwan dan Jepun untuk dijadikan hidangan eksotik di negara itu.

 ??  ?? SHAMSUL mengangkat ikan mola-mola yang ditangkap ke Pasar Mukah.
SHAMSUL mengangkat ikan mola-mola yang ditangkap ke Pasar Mukah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia