Harian Metro

Beza darah haid, istihadah, nifas

-

1. Apakah perbezaan antara haid, istihadah dan nifas?

Haid ialah darah yang keluar daripada rahim seorang perempuan pada waktu tertentu pada jangka masa tertentu.

Istihadah pula adalah darah penyakit yang keluar melalui saluran yang berhampira­n dengan rahim.

Saluran itu juga disebut sebagai ‘aazil. Ia keluar mengiringi kesan haid atau selepas habis haid.

Nifas pula ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan selepas keluarnya kandungan di dalam rahim sama ada melalui kelahiran biasa atau keguguran.

2. Berapakah usia minimum wanita didatangi haid dan berapakah tempoh masa haid?

Umur bagi seorang perempuan mula kedatangan haid ialah ketika berusia kira-kira sembilan tahun. Paling cepat masa kedatangan haid ialah sehari semalam dan paling lama 15 hari dan 15 malam.

Kebiasaann­ya, antara enam atau tujuh hari. Ini bererti, masa suci bagi seorang perempuan sekurang-kurangnya 15 hari dan 15 malam dan sebanyak-banyaknya tiada had.

3. Apakah tidak solat ketika kedatangan haid juga diberikan pahala?

Apabila seorang perempuan yang kedatangan haid terpaksa meninggalk­an solat dengan niat dan qasad semata-mata kerana mematuhi perintah syarak (melarang perempuan yang haid mengerjaka­n solat), maka dia diberi ganjaran pahala.

Tetapi jika tidak ada apa-apa niat maka dia tidak diberi pahala (dia tidak dikira berdosa).

4. Seorang perempuan keluar darah melalui dubur atas sifatnya sebagai darah haid. Adakah dia dikira sebagai haid atau tidak? Jika lubang asal tempat keluar haid tersumbat sekalipun, apakah hukumnya?

Jika keluarnya melalui dubur walaupun lubang asalnya tersumbat, ia tidak dinamakan haid.

5. Apakah dinamakan darah haid jika kebiasaan seorang perempuan keluar darah tidak sampai sehari semalam? Jika seseorang perempuan mendapati darah yang keluar daripada kemaluanny­a itu tidak sampai sehari semalam pada setiap bulan dan itu kebiasaan baginya, maka itu tidak dinamakan darah haid.

Dia tidak boleh dikategori­kan dalam hukum haid kerana apa yang ditetapkan oleh al-Imam Syafi’i itu adalah sudah sempurna bahkan ia dinamakan sebagai darah penyakit (istihadah).

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia