Harian Metro

Nenek sangka cucu main ragbi

-

Alor Setar: “Saya sangkakan dia pergi latihan ragbi sebab dia beritahu nak pergi sekolah petang tadi (semalam). Tidak lama kemudian ada penduduk taman datang beritahu cucu lemas,” kata Fauziah Abd Rashid, 62.

Dalam kejadian itu, Muhammad Haziq Amsyar Mohd Shahril, 9, ditemui lemas jam 5.45 petang semalam selepas terjatuh ke dalam sungai berhampira­n Taman Tabung Haji, Kepala Batas, di sini.

Fauziah berkata, cucunya dipercayai pergi ke kawasan yang dipenuhi air berhampira­n Sungai Padang Terap itu bersama adiknya, Muhammad Harris, 7, dan beberapa rakan mereka dengan basikal.

Katanya, jarak lokasi itu dengan rumahnya dekat dan tidak sangka mereka ke sana untuk mandi tanpa pengetahua­nnya.

Difahamkan, kawasan tempat mereka mandi itu dipenuhi air berikutan hujan lebat menyebabka­n limpahan air di Sungai Padang Terap.

“Arwah dan adiknya tinggal dengan saya kerana ibunya (Zalinda Abdul Halim, 32) bekerja di sebuah kompleks beli-belah di Alor Setar manakala bapanya (Mohd Shahril Sarusu, 37) pula bekerja sebagai polis bantuan di Butterwort­h, Pulau Pinang.

“Muhammad Haziq sempat makan tengah hari tadi selepas pulang dari solat Jumaat dan saya masak sup kaki ayam untuk dia dan adiknya sebelum kejadian berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tabung Haji, semalam.

Ketika ditemui di rumahnya, Fauziah beberapa kali beristighf­ar sambil menangis kerana arwah rapat dengannya namun reda dengan apa yang berlaku.

Sementara itu, datuk mangsa, Abdul Halim Omar, 63, berkata, sebaik mengetahui cucunya hilang di kawasan sungai berkenaan, dia bergegas ke lokasi dan mendapati adik mangsa, Muhammad Harris menangis sambil memberitah­u abangnya tiada.

Katanya, rakan cucunya kemudian menunjukka­n tempat Muhammad Haziq jatuh menyebabka­n dia bersama beberapa penduduk cuba mencari di kawasan itu.

“Dengan bantuan bomba, akhirnya cucu saya ditemui,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubunga­n Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.03 petang dan tiba di lokasi kejadian 22 minit kemudian.

Menurutnya, seorang pegawai dan tujuh anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba usaha mencari mangsa di dalam sungai itu dijalankan sebelum menemuinya jam 5.45 petang kira-kira 15 meter dari tempatnya terjatuh.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutny­a,” katanya.

 ?? Fauziah Abd Rashid ?? Muhammad Haziq sempat makan tengah hari tadi selepas pulang dari solat Jumaat dan saya masak sup kaki ayam untuk dia dan adiknya sebelum kejadian berlaku” ANGGOTA bomba membawa jenazah Muhammad Haziq yang lemas di sungai berhampira­n Taman Tabung Haji,...
Fauziah Abd Rashid Muhammad Haziq sempat makan tengah hari tadi selepas pulang dari solat Jumaat dan saya masak sup kaki ayam untuk dia dan adiknya sebelum kejadian berlaku” ANGGOTA bomba membawa jenazah Muhammad Haziq yang lemas di sungai berhampira­n Taman Tabung Haji,...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia