Harian Metro

Hoki lelaki, wanita layak beraksi di Sukan Komanwel

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki dan wanita negara masing-masing muncul antara 10 pasukan yang layak secara merit beraksi pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April tahun depan.

Kedua-dua pasukan negara itu layak selepas berada di kelompok 10 pasukan terbaik negara Komanwel dalam ranking Persekutua­n Hoki Antarabang­sa (FIH) yang dikemaskin­i awal bulan ini.

Timbalan Presiden Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC) Dr S Shamala berkata, ia adalah satu kejayaan berterusan bagi Malaysian Tigers dan Malaysian Tigress yang sering layak beraksi di temasya sukan kedua terbesar dunia itu.

Skuad lelaki hanya tidak layak beraksi pada 2002 di Manchester, England sementara pasukan wanita tidak pernah gagal sejak acara itu diperkenal­kan pada 1998.

“Untuk pasukan lelaki dan wanita, memang kita sudah menjangkak­an mereka akan layak ke Sukan Komanwel.

“Ia adalah pentas terbaik untuk kedua-dua pasukan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Asia di Jakarta dan Palembang.

“Secara peribadi saya amat berharap pasukan wanita mampu meraih keputusan lebih baik berbanding penampilan mereka dalam Sukan Komanwel sebelum ini.

“Manakala untuk pasukan lelaki, kita semua mengetahui kemampuan mereka. Saya yakin mereka juga mampu meraih keputusan lebih baik,” kata Shamala ketika dihubungi.

Skuad lelaki negara ketika ini menduduki ranking ke-12 dunia manakala skuad wanita di kedudukan ke-22.

Pencapaian terbaik skuad lelaki negara adalah meraih pingat perak pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur sementara pasukan wanita keenam di Melbourne, Australia 2006.

 ?? Dr S Shamala ?? Ia adalah pentas terbaik untuk kedua-dua pasukan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Asia di Jakarta dan Palembang”
Dr S Shamala Ia adalah pentas terbaik untuk kedua-dua pasukan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Asia di Jakarta dan Palembang”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia