Harian Metro

Rejaman Ali beri kelebihan Selangor Pistons

- Mohd Badlishah Mohd Ali badlishah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dengan ketinggian 1.75 meter dan berat 78 kilogram, penampilan Ali Alhamidi Ayob tidak seperti perejam lain dalam Sepak Takraw League (STL) Premier 2017.

Ketika rata-rata pemain di posisi itu memiliki ketinggian sederhana dan bertubuh kecil, fizikal mantap apit kanan Selangor Pistons itu memberikan­nya kelebihan tersendiri untuk mencari bucu gelanggang pada setiap rejaman, seterusnya menyukarka­n lawan membaca sasaran setiap serangan.

Kelebihan Ali itu juga beberapa kali menyelamat­kan Selangor Pistons musim ini, termasukla­h ketika mereka meneruskan misi menyelamat­kan diri dalam STL Premier dengan menundukka­n Kelantan Warriors.

Dengan fizikal umpama tekong, Ali dijangka akan sekali lagi menjadi sandaran Selangor Pistons apabila mereka menghadapi dua aksi getir yang akan menentukan nasib mereka minggu ini iaitu menentang ATM Guardians pada Jumaat dan juara STL Premier, Penang Black Panthers (hari ini).

Pasukan itu wajib menang kedua-dua perlawanan untuk terus kekal bersaing dalam STL Premier atau berdepan kemungkina­n mengiringi Johor Tigris tersingkir ke Divisyen Satu.

“Kami berdepan situasi cukup genting, kedua-dua perlawanan ibarat final dan kami tidak boleh lakukan kesilapan. Sudah tentu bukan mudah apatah lagi perlawanan yang bakal menentukan nasib kami adalah perlawanan menentang Penang (Black Panthers).

“Mereka dalam momentum yang baik, tetapi kami tidak boleh mengalah, kami perlu ‘libas’ siapa saja untuk teruskan perjuangan,” kata Ali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia