Harian Metro

‘Tak kisah Marcote atau Gomez’

-

Kuala Lumpur: Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff menegaskan tidak kisah siapa pengendali baru yang akan membimbing skuad Helang Merah bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Katanya, beliau percaya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan membuat pilihan tepat dengan membawa jurulatih terbaik untuk membimbing skuad itu.

“Terpulang kepada pengurusan KFA menentukan siapa yang akan menjadi ketua jurulatih baru Kedah musim depan.

“Saya sentiasa bersedia untuk bekerja dengan mana-mana pengendali dan saya yakin pengurusan akan membuat pilihan terbaik demi kemajuan pasukan,” katanya ketika ditemui semalam.

Setakat ini, dua nama disebut-sebut sebagai calon utama ketua jurulatih Kedah termasuk bekas pengendali Helang Merah musim 2015, Ramon Marcote dan bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez.

Nidzam sebelum ini memikul tugas sebagai ketua jurulatih Kedah selepas Tan Cheng Hoe menyertai skuad Harimau Malaya sebagai penolong jurulatih April lalu.

Beliau yang juga bekas pemain Kedah dilihat berjaya mengekalka­n prestasi terbaik skuad itu apabila berjaya menghadiah­kan Piala FA dan mara ke final Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut walaupun tewas 0-2 kepada JDT di final.

Malah, Nidzam mengesahka­n menolak dua tawaran pasukan lain yang cuba mendapatka­n khidmatnya untuk musim depan.

Jelasnya, keputusan itu diambil sebagai menghormat­i kontraknya yang masih berbaki setahun bersama skuad Helang Merah.

“Memang ada satu atau dua pasukan yang menghubung­i saya sebelum ini, tapi saya nyatakan kepada mereka saya masih lagi terikat kontrak dengan Kedah dan saya terpaksa menolak tawaran itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia