Harian Metro

‘Kami bersalah’

 Gagal maklum kematian bayi berusia 14 hari kepada pendaftar

- Meor Riduwan Meor Ahmad mriduwan@hmetro.com.my

Suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan gagal memaklumka­n kematian bayi perempuan mereka berusia 14 hari kepada pendaftar kelahiran dan kematian, bulan lalu.

Mohd Firdaus Mohammad, 36, dan isteri Siti Mariam Mat Saad, 23, membuat pengakuan itu sejurus dibacakan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Nor Azah Idris bagaimanap­un menetapkan kes untuk fakta dan hukuman pada 30 November ini selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin.

Berdasarka­n pertuduhan, Mohd Firdaus dan Siti Mariam yang juga warga Indonesia dituduh gagal memberi maklumat kepada pendaftar berhubung butir yang dikehendak­i didaftarka­n berkenaan kematian bayi perempuan (tidak bernama) yang berusia 14 hari.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Kampung Ulu, Kuala Kedah, dekat sini, pada 12 Oktober lalu jam 5 petang.

Oleh itu, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 35 (a), Akta Pendaftara­n Kelahiran dan Kematian 1957 dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, seksyen itu memperuntu­kkan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Muhammad Rifaie menawarkan jaminan RM6,000 namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Nuradzwan Rodzi merayu jaminan dikurangka­n atas alasan Mohd Firdaus bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM800 sebulan.

Mahkamah membenarka­n jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi Mohd Firdaus namun isterinya tidak dibenarkan jaminan.

Sementara itu, Siti Mariam mengaku bersalah terhadap pertuduhan berasingan menggunaka­n kad pemastauti­n sementara milik orang lain (Alia Abdullah, 24), di Jabatan Pendaftara­n Negara Anak Bukit, di sini, pada 29 Oktober lalu jam 4 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1), Peraturan-Peraturan Pendaftara­n Negara 1990 yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 dan minimum RM3,000.

Mahkamah menetapkan tarikh sama untuk fakta dan hukuman.

 ??  ?? MOHD Firdaus dan Siti Mariam diiringi keluar dari Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam.
MOHD Firdaus dan Siti Mariam diiringi keluar dari Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia