Harian Metro

LEPAS GERAM PADA MEDIA

Tiga anggota polis dituduh ambil rasuah

- Izlaily Nurul Ain Hussein izlaily@hmetro.com.my

Seorang daripada tiga anggota polis yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada orang awam, melepaskan geram terhadap petugas media dengan membuat isyarat lucah dan menghambur kata-kata kesat.

Kejadian berlaku selepas prosiding ketika ketiga-tiga tertuduh dibawa keluar dari mahkamah dan seorang daripada mereka membuat isyarat lucah ke arah jurugambar dan juruvideo yang merakam wajahnya.

Tertuduh yang menutup wajahnya dengan baju yang dipakai turut menghambur kata-kata kesat kepada media.

Terdahulu, Lans Koperal Azizan Mohamad, 30, Lans Koperal Muhammad Aiman Najmi Sahran, 26, dan Lans Koperal Abdul Manan Abdul Satar, 33, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosik­al

(URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam didakwa meminta suapan wang tunai RM5,000 daripada lelaki berusia 33 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan bank di Jalan Masai Jaya 1, Plentong, Johor Bahru pada 1 pagi, 9 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan kedua, mereka bertiga didakwa menerima suapan RM2,250 daripada orang sama sebagai dorongan melakukan perbuatan sama di Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada 4.50 pagi, 9 Oktober 2016.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM30,000 untuk setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan namun peguam yang mewakili tertuduh membantah.

Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili Azizan memberitah­u mahkamah anak guamnya berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 11 tahun dan masih bertugas sebagai penjawat awam.

“Tertuduh mempunyai isteri dan dua anak selain menanggung ibu bapanya di Tumpat, Kelantan,” katanya.

Peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly yang mewakili dua lagi tertuduh pula berkata, dua anak guamnya hanya berpendapa­tan RM2,800 sebulan dengan masing-masing mempunyai isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudian membenarka­n setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap minggu pertama dalam sebulan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Januari 2018.

 ??  ?? TIGA anggota polis diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
TIGA anggota polis diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia