Harian Metro

Kerajaan ambil langkah jika melebihi RM2.50

-

Kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaia­n bagi mengurangk­an impak kenaikan harga minyak, sekiranya harga runcit RON 95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

Kementeria­n Kewangan dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan trend kenaikan harga minyak mentah dunia sejak kebelakang­an ini.

“Langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya, semalam.

Menurut kenyataan itu, kerajaan prihatin dan memahami kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang kini mencecah lebih RM249 (AS$60) setong.

Pada masa ini, katanya, kerajaan sudah melaksanak­an langkah rasionalis­asi subsidi produk petroleum mengikut trend kenaikan atau penurunan harga minyak mentah dunia.

Menurutnya, langkah ini berjaya mengurangk­an ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar.

“Penetapan harga runcit RON 95 dan diesel dilaksanak­an dengan mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kadar tukaran wang asing.

“Mekanisme penetapan adalah secara mingguan dengan purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya.

“Sekiranya harga minyak mentah dunia naik maka harga runcit produk petroleum turut naik, sebaliknya harga runcit akan berkurang jika harga minyak mentah dunia turun,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia