Harian Metro

‘Kami reda dengan ketentuan Ilahi’

-

“Biarpun sedih dengan kejadian yang menimpa anak saya (Muhammad Faliq Fadzil, 26) namun kami reda dengan ketentuan Ilahi. Saya bersyukur kerana doa dan solat hajat kami dimakbulka­n Allah selepas diberitahu pasukan penyelamat menjumpai Muhammad Faliq,” kata

Nor Hashimah Hashim.

Nor Hashimah, 48, ibu kepada Muhammad Faliq mangsa yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mangsa bersama seorang rakan ketika pergi memancing karam di Sungai Perak dekat Kampung Kelantan.

Muhammad Faliq ditemui jam 7.55 pagi semalam kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Menurut Nor Hashimah dia berterima kasih kepada semua pihak terutama anggota bomba dan polis yang berusaha mencari anaknya itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)

Lenggong Mohd Annuar Mohd Saff berkata mangsa ditemui dalam keadaan terapung di permukaan air.

Katanya, mayat Muhammad Faliq dibawa ke Jeti Tasik Raban dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kelmarin, mayat rakan Muhammad Faliq, Amirul Asyraff Abdullah, 24, ditemui jam 10.10 pagi.

Dua rakan itu dikatakan menyewa bot di Tasik Raban dan pergi memancing di Sungai Perak jam 8 pagi Sabtu lalu sebelum bot mereka naiki karam selepas dipercayai terlanggar tunggul kayu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia