Harian Metro

Laluan selesa enam meter

- Siti Fatimah Nasir am@hmetro.com.my

 Projek pelebaran laluan pejalan kaki di Jalan Alor, Jalan Changkat demi kebaikan semua

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meminta peniaga dan penduduk di Jalan Alor dan Jalan Changkat Bukit Bintang di sini, supaya bersabar terhadap projek pelebaran laluan pejalan kaki di kawasan itu yang dijangka siap sepenuhnya pertengaha­n Disember ini.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kejurutera­an Awam dan Jabatan Pengangkut­an Bandar DBKL Sabudin Mohd Salleh berkata, projek berkenaan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakk­an orang ramai berjalan di samping mengurangk­an jumlah kenderaan di pusat bandar raya.

“Sebelum ini, memang sudah ada laluan pejalan kaki, tetapi kita lebarkan laluan berkenaan daripada tiga meter kepada enam meter supaya dapat memberi keselesaan kepada orang awam yang turun dari stesen Transit Aliran Massa (MRT) ke kawasan ini.

“Oleh itu, peniaga dan penduduk di kawasan ini perlu faham projek pelebaran laluan pejalan kaki ini untuk kepentinga­n bersama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, projek pelebaran laluan pejalan kaki itu sudah hampir siap memandangk­an hanya tinggal kerja pemasangan jubin, lampu dan rumput di sepanjang laluan berkenaan.

“Laluan itu kini sudah boleh digunakan orang awam yang turun dari stesen MRT Bukit Bintang ke kawasan ini. Kita mahu memudahkan mereka yang turun dari stesen MRT supaya tidak melimpah ke jalan raya.

“Walaupun DBKL membatalka­n sebanyak 23 petak letak kenderaan dan menukar kepada laluan pejalan kaki, peniaga tidak perlu bimbang kerana mereka masih boleh memunggah barang menggunaka­n satu lorong memandangk­an kawasan ini mempunyai dua lorong laluan sehala,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di kawasan berkenaan mendapati berlaku kesesakan lalu lintas disebabkan kerja menaik taraf pelebaran laluan pejalan kaki berkenaan meskipun terdapat dua lorong sehala di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Ho Tat Seng, 62, berkata, disebabkan projek berkenaan, penduduk dan peniaga di kawasan itu terpaksa berdepan kesesakan trafik hampir setiap hari selain masalah kekurangan tempat letak kenderaan, sekali gus menyebabka­n mereka meletakkan kenderaan jauh dari Jalan Alor dan Jalan Changkat.

“Walaupun di sekitar kawasan ini mempunyai tempat letak kereta berbayar, saya masih lagi terbeban kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan caj parkir yang tidak masuk akal disebabkan kemudahan letak kenderaan di sini terhad.

“Bagaimanap­un, kita tidak menghalang projek ini, tetapi DBKL harus mengkaji masalah tempat letak kenderaan di kawasan ini sebelum memulakan sesuatu projek yang memberi kesan jangka panjang kepada peniaga dan penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui.

 ??  ?? KEADAAN projek pelebaran laluan pejalan kaki di Jalan Alor.
KEADAAN projek pelebaran laluan pejalan kaki di Jalan Alor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia