Harian Metro

Anjung Malaysia tarikan baru KLIA

-

Malaysia Aiports Holdings Bhd (MAHB) melancarka­n Anjung Malaysia sebagai tarikan terbaru di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam iaitu satu ruang khusus memaparkan keunikan tradisi serta kebudayaan tempatan.

Ruang itu yang dulunya dikenali sebagai Anjung Tinjau diberi nafas baru dengan menonjolka­n keunikan kebudayaan Malaysia menerusi barangan kraftangan, produk dan makanan tradisiona­l tempatan.

Di sepanjang laluan anjung berkenaan, ia dihiasi paparan grafik menarik yang memaparkan kegemilang­an Kuala Lumpur pada era 60-an, panggung wayang dan replika kedai runcit lama manakala, ruang silingnya pula dihiasi wau bulan.

Tarikan baru itu juga membolehka­n orang awam dan pelancong mengambil peluang merakam gambar kenang-kenangan berlatarka­n ruang itu.

Menteri Pengangkut­an Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya yakin tarikan terbaru itu dapat menarik kedatangan pelancong ke negara ini sekali gus memeriahka­n industri pelanconga­n negara dan memperkena­lkan budaya tempatan kepada pelancong.

Beliau berkata, KLIA kini mengendali­kan lebih 60 syarikat penerbanga­n membabitka­n 120 destinasi dengan 70 peratus daripada 53 juta penumpang yang menggunaka­n KLIA adalah penumpang antarabang­sa.

“Justeru, saya berharap tarikan baru ini dapat membantu mempromosi­kan Malaysia sebagai destinasi wajib kunjung sekali gus menjana pendapatan negara,” katanya pada sidang media selepas melancarka­n Anjung Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi MAHB Tan Sri Syed Anwar Jamalullai­l.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Perkhidmat­an Komersial MAHB Mohammad Nazli Abd Aziz berkata, Anjung Malaysia akan menjadi model dan contoh kepada pihaknya bagi menaik taraf empat lapangan terbang lain dalam tempoh dua tahun di mana ia akan dinaiktara­f sesuai dengan identiti masing-masing.

 ??  ?? LIOW ketika melawat Anjung Malaysia di KLIA, semalam.
LIOW ketika melawat Anjung Malaysia di KLIA, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia