Harian Metro

‘Tok Ki lembut dalam garang’

-

Jertih: “Arwah nampak seperti seorang yang garang dan tegas, tetapi ada kelembutan di sebalik sikapnya itu terutama apabila dengan cucunya,” kata Wan Abd Ghani Wan Ibrahim, 78, cucu kepada penggawa Wan Embong Wan Zainal yang dibunuh tentera Jepun, 72 tahun yang lalu.

Wan Embong ditahan apabila beliau dituduh melindungi pegawai Inggeris manakala lima pemimpin lain juga ditahan kerana terletak di bawah Mukim Lubuk Kawah di bawah jagaan Wan Embong.

Selain itu, Wan Embong tidak memberikan kerjasama kepada tentera Jepun di Besut terutama untuk membaiki lapangan terbang Gong Kedak yang rosak teruk serta tidak menyokong rancangan tentera Jepun bagi menghantar orang ramai ke Burma untuk membuat jalan kereta api di sana yang dipercayai menjadi punca beliau bersama lima rakannya ditahan.

Menurut Wan Abd Ghani atau lebih mesra disapa Ayah Wa, dia tidak banyak kenangan bersama arwah Tok Ki (Wan Embong), tetapi sikap mesra Tok Ki melayan cucunya antara kenangan yang masih utuh dalam ingatannya.

“Dia nampak garang dan tegas, tetapi sebenarnya dia seorang yang sangat baik dan menjaga kebajikan penduduk di bawah jagaannya.

“Malah, arwah Tok Ki juga selalu buat permainan wayang kulit sebagai hiburan untuk penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alur Keladi, di sini, semalam.

Ayah Wa berkata, antara kenangan mengenai arwah yang masih segar dalam ingatannya adalah cara insan disegani itu berpakaian.

“Tok Ki selalu memakai seluar pendek, berstoking panjang, berbaju kot dan bertopi koboi manakala tingkah lakunya yang tegas dengan suara garau membuatkan orang ramai hormat dan gerun kepadanya.

“Arwah Tok Ki juga ada membela kuda yang digunakan untuk berulang-alik ke pejabatnya di Kampung Raja, Besut dan melawat kampung yang berada di bawah mukimnya.

“Arwah Tok Ki juga gemar memburu rusa, pelanduk dan ayam hutan menggunaka­n selaras senapang miliknya dan turut membela ayam jantan atau lebih dikenali dengan nama ayam baik,” katanya.

Sementara itu, cicit kepada Wan Embong, Wan Mohd Nazarullah, 35, berkata, dia yang juga anak bongsu daripada enam beradik mula mendengar perjuangan moyang mereka sejak kecil.

 ?? FOTO: ROZAINAH ZAKARIA ?? WAN Abd Ghani (tengah) bersama dua anak dan dua cucunya melihat buku yang mengandung­i sejarah Wan Embong.
FOTO: ROZAINAH ZAKARIA WAN Abd Ghani (tengah) bersama dua anak dan dua cucunya melihat buku yang mengandung­i sejarah Wan Embong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia