Harian Metro

Mati menipu

- Agensi

 Ahli perniagaan cuba dapat bayaran insurans ‘nahas’ lemas selepas terperangk­ap dalam sungai

Seorang ahli perniagaan mati lemas ketika sengaja memandu keretanya ke dalam sungai untuk mendapatka­n pampasan insurans yang jauh menjangkau­i nilai kenderaan berkenaan.

Mangsa berusia 39 tahun dikenali sebagai Li itu membuat perancanga­n berkenaan selepas menyedari mampu mengaut keuntungan jika Jaguar miliknya yang dibeli lima tahun lalu diisytihar­kan musnah sepenuhnya dalam kemalangan berbanding menjualnya mengikut nilai pasaran, lapor Thepaper.cn.

Insurans kenderaan itu berjumlah 500,000 yuan (RM312,000), sedangkan nilai pasaran cuma 400,000 yuan (RM249,000).

Menggunaka­n peralatan yang membolehka­nnya mengawal kereta itu melalui telefon bimbitnya, Li memandu kenderaann­ya ke dalam sungai di Wenling, Zhejiang pada 18 November lalu.

Dia kemudian terjun ke dalam sungai bersama rakan perempuann­ya, Zhang, 29, dengan perancanga­n supaya wanita itu terus berenang keluar, manakala Li mencari dan membuang peralatan digunakan di dalam kereta berkenaan.

Zhang kemudian sepatutnya menghubung­i polis sebaik Li naik ke darat dan mengakui dia yang menyebabka­n kemalangan itu.

Menurut Zhang, Li meminta bantuannya kerana menganggap polis lebih percaya jika seorang wanita menyebabka­n kemalangan seperti itu.

Malangnya, selepas melaksanak­an perancanga­n itu, Zhang menjadi risau apabila Li tidak muncul walaupun sudah terlalu lama berada di dalam air menyebabka­nnya meminta bantuan orang ramai.

Penduduk tempatan yang menemui Li di dalam air menariknya keluar sebelum menghubung­i polis serta ambulans, namun lelaki itu tidak sempat diselamatk­an.

Zhang yang disoal polis berkata, dia percaya Li terperangk­ap di dalam keretanya.

Menurutnya, mereka menyangka air sungai itu cuma sedalam satu meter. Bagaimanap­un, operasi pembersiha­n yang dijalankan beberapa hari sebelumnya menyebabka­n dasarnya lebih dalam daripada biasa.

Polis mengesyaki nahas itu dirancang selepas Zhang gagal memberi butiran jelas, malah telefon bimbit dan pakaian wanita itu juga kering, dipercayai ditinggalk­an di atas tebing.

Tidak dilaporkan sama ada Zhang berdepan sebarang tindakan. Syarikat insurans terbabit juga dilaporkan tidak membayar sebarang pampasan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia