Harian Metro

Bayar gaji sampai mati

-

Harare: Bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe dan isteri, menerima pampasan jutaan dolar sebagai perjanjian yang dipersetuj­ui sebelum peletakan jawatannya, minggu lalu.

Jumlah sebenar sepatutnya dibayar kepada Mugabe, 93, dan isterinya Grace, 52, itu tidak jelas, namun seorang anggota kanan parti pemerintah berkata ia tidak kurang daripada AS$10 juta (RM41 juta), selain jaminan kekebalan daripada pendakwaan serta kepentinga­n perniagaan keluargany­a tidak diganggu.

Dia dilaporkan akan menerima bayaran tunai berjumlah AS$5 juta (RM21 juta) serta-merta, manakala selebihnya akan dibayar dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Gajinya berjumlah AS$150,000 (RM617,000) juga akan dibayar selagi dia hidup, manakala Grace akan menerima separuh jumlah itu sepanjang hayatnya selepas kematian Mugabe.

Pasangan itu juga dibenarkan terus menginap di rumah agam mereka dikenali sebagai Blue Roof (atap biru), selain kerajaan terus membayar untuk keperluan perubatan, pembantu rumah dan keselamata­n serta perjalanan ke luar negara.

Sementara itu, mahkamah memutuskan tindakan ketenteraa­n yang membawa kepada penyingkir­an Mugabe minggu lalu sebagai sah di sisi undang-undang.

Dalam keputusan dikeluarka­n Jumaat lalu, mahkamah berkata, pengambila­lihan tentera bagi memastikan individu yang tidak dilantik tidak cuba berkuasa dipercayai merujuk kepada Grace yang dibayangi menjadi pengganti suaminya.

Mugabe digantikan Emmerson Mnangagwa, 75, yang mengangkat sumpah sebagai presiden pada Jumaat lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia