Harian Metro

Negara lain makin serius dalam misi ke Tokyo

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Satu emas dan satu perak, jelas sekali memberikan petunjuk buat skuad badminton para negara bahawa negara lain semakin serius mempersiap­kan pasukan terutama menjelang aksi sulung di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ia diakui Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria badminton para bukan lagi menjadi lubuk emas buat pemain negara selepas hanya meraih satu emas pada kejohanan dunia di Ulsan, Korea Selatan berbanding tiga emas dua tahun lalu.

“Bagaimanap­un, saya mahu mengucapka­n tahniah kepada pemain perseorang­an lelaki negara, Cheah Liek Hou kerana berjaya meraih emas sebentar tadi, walaupun dia gagal melakukan perkara sama dalam acara beregu lelaki,” katanya ketika dihubungi semalam.

Liek Hou berjaya mempertaha­nkan emas yang dimenangin­ya dua tahun lalu di Stoke Mandeville, England bagi kategori SU 5 (kecacatan tangan) selepas menumpaska­n Suryo Nugroho dari Indonesia 19-21, 21-15, 21-18.

Usahanya untuk membawa pulang dua emas ketika berganding­an bersama Hairol Fozi Saaba tidak berhasil selepas tumpas 21-18, 21-23, 18-21 kepada gandingan campuran Suryo-Tey Wei Ming (Singapura).

“Ini tetap pencapaian membanggak­an walaupun kita tidak mampu mengulangi pencapaian dua tahun lalu (tiga emas) dan menepati sasaran dua emas. Saya memberitah­u pengurus pasukan, Dr Naharuddin Hashim ia memberi petunjuk bukan mudah buat kita untuk beraksi di kejohanan dunia dengan kehadiran beberapa pemain dari negara seperti Indonesia dan India.

“Semua negara sudah membuat persediaan memandangk­an badminton akan dipertandi­ngkan buat kali pertama di Paralimpik Tokyo nanti. Sebelum ini negara lain memang kita lihat kurang persediaan dan satu petunjuk kita perlu bekerja lebih kuat,” kata Norza.

Beliau berkata, selepas ini skuad badminton para perlu melakukan perancanga­n lebih tersusun dengan bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Emas yang diraih Liek Hou hari ini adalah yang ke-11 buatnya dalam Kejohanan Badminton Para Dunia, selepas lima edisi sebelum ini dia berjaya muncul juara acara perseorang­an dan beregu lelaki.

Dua tahun lalu, Malaysia berjaya meraih tiga emas dengan emas ketiga diraih Didin Taresoh dalam acara perseorang­an lelaki SS 6 (kerdil).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia