Harian Metro

Hatrik Fatin julang Selangor

- Naqib Nor Said naqib@bh.com.my

Fatin Shafikah Mahd Sukri muncul wira skuad hoki wanita Selangor selepas membantu pasukannya merangkul gelaran sulung Piala Razak dengan menewaskan juara bertahan Pahang 5-2 pada aksi final di sini, semalam.

Fatin bukan saja meledak hatrik malah penyerang berusia 22 tahun itu turut mencipta satu bantuan gol untuk menafikan misi Pahang mempertaha­nkan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

Bagi Fatin yang dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir, kejayaan itu begitu istimewa selepas Selangor gagal dalam percubaan sulung tahun lalu.

“Ia memang sangat istimewa, satu kejayaan indah bagi Selangor kerana kami tidak pernah menjulang gelaran Piala Razak selepas hanya berpuas hati di kedudukan ketiga tahun lalu.

“Malah, saya amat bersyukur kerana mendapat bonus dengan meledak hatrik dalam aksi final bagi menewaskan pasukan serba lengkap seperti Pahang,” kata Fatin yang juga penyerang negara.

Jangkaan awal perlawanan itu bakal menjadi milik Pahang yang diperkuatk­an kehadiran tujuh pemain negara ternyata meleset apabila Selangor sentiasa mempertaha­nkan kelebihan satu gol sepanjang 60 minit aksi.

Jelas percaturan jurulatih Selangor, Ikmal Abd Jabbar yang mengarahka­n anak buahnya menyerang sejak awal permainan berhasil apabila selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Nurain Hidayah Asri dan Fatin pada minit ke-8 dan ke-10.

Pahang kembali merapatkan kedudukan menerusi jaringan Rabiatul Adawiyah Mohamed pada minit ke-16, namun ia tidak bertahan lama selepas Fatin menambah jaringan ketiga Selangor pada minit ke-32.

Bermula suku ketiga, Pahang memperkema­skan permainan dan akhirnya merapatkan semula kedudukan kepada 3-2 hasil gol padang Annur Amira Suziani Suhaimi pada minit ke-38.

Bagaimanap­un, dua jaringan suku keempat mengesahka­n kemenangan Pahang apabila lorongan bola Fatin mudah disudahkan Nor Atira Mohamad Ismail (m-44) sebelum Fatin melengkapk­an hatrik menerusi penyudah penalti strok (m-59).

 Aksi mantap bantu pasukan raih piala sulung

 ?? ZULFADHLI ZULKIFLI ?? PASUKAN Selangor ceria selepas menjuarai Kejohanan Hoki Piala Razak di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.
ZULFADHLI ZULKIFLI PASUKAN Selangor ceria selepas menjuarai Kejohanan Hoki Piala Razak di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia