Harian Metro

KRM senarai 20 pemain ke Gold Coast, Sukan Asia

- Fadhli Ishak fadhli.ishak@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menamakan 20 pemain bagi Sukan Komanwel Gold Coast dan juga Sukan Asia Indonesia pada tahun hadapan dengan kebanyakan nama yang disenaraik­an bukanlah muka baru.

Setiausaha KRM, Jamaluddin Salim berkata, 15 pemain yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur akan dikekalkan dengan bakinya adalah pemain muda yang berbakat untuk dibentuk bagi masa hadapan.

“Majlis Sukan Negara (MSN) sudah memberikan kami 20 tempat bagi pemain, ini adalah bagi program sepenuh masa,” kata Jamaluddin semalam.

“Ini adalah pemain yang kami kenal pasti buat masa ini, bagaimanap­un kemungkina­n ada beberapa perubahan selepas Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan. Kami selalu melihat bakat baru, kami tidak menutup pintu bagi pemain lain.

“Kami berharap dapat mengekalka­n kumpulan pemain yang ada bersama-sama sekurang-kurangnya sehingga Sukan SEA 2019. Ini adalah mengapa kami memasukkan beberapa pemain muda dalam pasukan bagi memastikan kesinambun­gan,” katanya.

Muhammad Haikal Ibrahim, Muhammad Nazir Asaari, Muhammad A’Aziem Badaruddin dan Muhammad Zulhisham Rasli adalah antara pemain muda yang disenaraik­an.

Jamaluddin berkata, skuad yang dibimbing Saizul Hafifi Md Noor itu akan dihantar menjalani kem latihan dan kejohanan di luar negara bagi persediaan dua temasya itu.

Skuad kebangsaan yang memenangi pingat emas pertama di Sukan SEA Ogos lalu meletakkan sasaran untuk memenangi pingat pertama di Sukan Asia sementara tidak ada sasaran tinggi diletakkan pada Sukan Komanwel yang dikuasai negara besar seperti Australia, New Zealand, Afrika Selatan, England dan Fiji.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia