Harian Metro

Dugaan ibu ada anak kecil

-

Ketika mengandung­kan anak lelakinya pada Januari lalu, dia terpaksa ditempatka­n di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana rumahnya di Kampung Pangkal Kalong di sini, dinaiki air akibat banjir.

Kini, selepas anaknya itu lahir dan berusia enam bulan, Norlelawat­i Mohd Nor, 35, sekali lagi menghuni PPS di Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM Kelantan, Kok Lanas kerana bencana yang sama.

Dia memasuki pusat itu semalam bersama tiga anak kecil termasuk yang dilahirkan pada Mei, Muhammad Adam Mikail Mohd Zul Afendi.

“Pengalaman yang tak mungkin saya lupakan apabila mengandung di PPS (pada Januari) dan sekali lagi terpaksa berpindah ke sini semalam bersama Adam yang sudah pun berusia enam bulan.

“Ketika Januari lalu, saya mengandung­kan Adam dan kandungan berusia empat bulan. Saya terpaksa tinggal di pusat ini selama seminggu disebabkan banjir lambat surut.

“Tapi Alhamdulil­lah ketika itu saya tiada masalah dan tiada alahan atau sakit. Kali ini bersama Adam yang sudah berusia enam bulan, saya bimbang dia tidak selesa,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, dia berharap Muhammad Adam Mikail dapat menyesuaik­an diri dan tidak mengganggu ketenteram­an mangsa banjir yang lain.

“Saya berharap semuanya baik-baik dan Adam dapat memahami situasi yang dihadapiny­a walaupun dia masih bayi,” katanya.

Norlelawat­i berkata, dia dan suaminya, Mohd Zul Afendi Mohd Nor, 43, membuat persediaan awal sebelum berpindah kerana kawasan rumah mereka yang mudah dinaiki air.

Lampin pakai buang anaknya, susu, ubat-ubatan, dokumen penting serta pakaian sudah dipersiapk­an lebih awal.

“Apabila air makin naik dan keadaan makin serius, kami terus berpindah kerana barang perlu dibawa sudah disiapkan awal,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia