Harian Metro

Jus teh limau perisa dadah

-

Cheras: Guna lesung batu untuk tumbuk dadah ketamin hingga menjadi serbuk halus sebelum dicampurka­n dengan perasa minuman buah-buahan dan teh limau.

Itu antara modus operandi popular yang terus digunakan sindiket dadah untuk memasarkan ‘minuman lalok’ itu di pusat hiburan sekitar ibu kota.

Penjualan minuman campuran dadah itu dibongkar selepas sebuah pusat hiburan di Menara PGRM, Jalan Pudu Ulu di sini, diserbu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras jam 12.45 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, operasi Ops Pusat Hiburan berkenaan diadakan dengan kerjasama empat pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selain dua pegawai dan 11 anggota BSJN IPD Cheras.

“Dalam operasi diadakan itu, seramai 30 individu yang sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan turut diperiksa.

“Hasil ujian saringan air kencing, 13 individu didapati positif mengambil dadah syabu ketika berhibur manakala lima lagi kita tahan kerana memiliki dadah,” katanya.

Menurutnya, semua 11 wanita warganegar­a Vietnam yang ditahan disahkan mengambil serta memiliki dadah.

“Lima individu ditahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan 13 lagi ditahan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah.

“Pihak polis turut merampas empat biji pil eramin 5 seberat 1.12 gram selain ketamin seberat 1.17 gram,” katanya.

Beliau berkata, dadah ketamin berkenaan ditemui dalam peket minuman bersaiz kecil perisa ‘Ice Tea’ yang dipercayai sudah diproses dan dijadikan serbuk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia