Harian Metro

400,000 KELAPA MASUK LAUT

Kapal bawa 400,000 kelapa karam

- Rosli Ilham am@hmetro.com.my

“Kami sentiasa berdoa agar diselamatk­an biarpun tahu kami berdepan maut. Kami bersyukur ada kapal menuju ke arah kami dan menghulurk­an bantuan kira-kira 30 minit kemudian,” kata Mara Sofyan Dalimunte, 43, kapten kapal KLM Berkat Sejati yang karam dipukul ombak pada jarak 22.5 batu nautika dari Kuala Terengganu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, Sofyan bersama lapan anak kapal iaitu Abdul Hakim, 42, Jumadil, 23, Candra Gunawan, 32, Kristoper Manurung, 24, Muhammad Gustaf Fauzan Hamsith, 22, Overianus Waruwu, 24, Badri Matondang, 35 dan Herry Septiawan, 23, dalam perjalanan menghantar bekalan kelapa ke Takbai, Narathiwat, Thailand.

Menurut Sofyan, ketika kejadian, kapalnya membawa 400,000 biji kelapa dari Kuala Enok, Sumatera, Indonesia dan sebaik tiba di tempat kejadian, mereka panik selepas kapal mengalami kebocoran di bilik enjin akibat dihentam ombak besar pada ketinggian 3.5 meter.

“Air sangat cepat memenuhi kapal dan saya mengarahka­n anak kapal supaya naik ke atas sebelum meminta bantuan kecemasan dengan menghubung­i Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya pada jam 8.25 pagi,” katanya.

Dalam tempoh satu jam berdepan situasi itu, Sofyan berkata, semua anak kapal sudah bersiap dengan jaket keselamata­n untuk terjun ke laut sekiranya kejadian lebih buruk.

“Hanya lafaz syukur mampu diucapkan sebaik melihat kapal keselamata­n pelantar Grade One Manjung 1 dinaiki 16 kru termasuk seorang kapten muncul untuk membantu kami.

“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk berpindah ke kapal itu sebelum kapal kami akhirnya tenggelam,” katanya.

Sofyan berkata, kemalangan itu pengalaman pertamanya berdepan dengan maut sepanjang 21 tahun belayar.

“Kami berterima kasih kepada kapten serta anak kapal yang sanggup membantu kami dan hanya Tuhan yang mampu membalas segala bantuan yang diberikan,” katanya.

Dalam kejadian itu, semua warga Indonesia itu berjaya diselamatk­an dengan cepat berikutan kapal keselamata­n pelantar Grade One Manjung 1 secara kebetulan berada hanya tujuh batu nautika dari kapal dinaiki sembilan mangsa itu.

Menurut Kapten Kapal Grade One Manjung 1, Nor Shukri Mohamad, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah Pengkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhammad Rezal Kamal Bashah berkata, mereka dalam perjalanan dari Pelantar Minyak Cakerawala di sempadan Malaysia-Thailand ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Pelabuhan Kemaman untuk mengambil bekalan minyak dan makanan.

FAKTA Kapal mengalami kebocoran di bilik enjin akibat dihentam ombak besar

 ??  ??
 ??  ?? SOFYAN (tengah) memeluk Nor Shukri (tiga dari kanan) sebagai tanda terima kasih atas bantuan menyelamat­kan mereka dalam kejadian bot karam.
SOFYAN (tengah) memeluk Nor Shukri (tiga dari kanan) sebagai tanda terima kasih atas bantuan menyelamat­kan mereka dalam kejadian bot karam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia