Harian Metro

Berlaku ketirisan, salah guna

-

Kemaman: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak menolak kemungkina­n berlaku ketirisan dan penyalahgu­naan bantuan baja subsidi.

Berikutan itu, beliau meminta pihak berkuasa agar dapat menyiasat perkara itu dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan hingga pesalah dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya tidak nafikan mungkin ada ketirisan berlaku kerana kementeria­n saya antara paling banyak menyediaka­n peruntukan subsidi kepada petani.

“Mungkin ada pihak yang tidak layak menerima bantuan membuat tuntutan atau ada juga pihak yang membantu menguruska­nnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Harian Metro berkaitan wujudnya segelintir pihak menyalahgu­nakan bantuan diberikan kerajaan ketika ditemui di Program Simulasi Pengurusan Banjir di Pusat Pemindahan Banjir Daerah Kemaman di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, semalam.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan mengenai kegiatan sindiket menjual baja dan racun subsidi serta membuat tuntutan palsu bantuan kerajaan.

Kaedah penyelewen­gan sindiket yang menyalahgu­nakan bantuan diberikan kerajaan itu dikatakan mampu mengaut untung mudah berjumlah lebih RM80 juta sejak enam tahun lalu.

Perkara itu didedahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mendapat aduan daripada orang ramai selepas menyedari wujudnya ketirisan subsidi sehingga baja dikhususka­n untuk pesawah tempatan dikatakan turut dijual sehingga ke negara jiran.

Difahamkan, terdapat individu atau kumpulan yang menjual baja subsidi terbabit pada harga RM5 hingga RM30 setiap beg seberat 20 kilogram untuk kegunaan pihak ketiga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia