Harian Metro

Rumah teres port judi

- Iskandar Shah Mohamed iskandar@hmetro.com.my

 Sindiket turut sediakan khidmat ambil pelanggan di stesen minyak

Kelicikan sindiket yang menjadikan sebuah rumah teres setingkat di Pelabuhan Klang di sini, sebagai ‘port’ judi atas talian sejak dua minggu lalu tumpas apabila diserbu polis, kelmarin.

Bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, sindiket itu dikatakan mengambil pelanggan mereka dengan menggunaka­n sebuah kenderaan di sebuah stesen minyak berdekatan lalu membawa mereka ke kediaman terbabit.

Difahamkan, rumah itu disewa sindiket untuk kegiatan haram berkenaan yang mendatangk­an pendapatan sehingga RM1,000 sehari.

Taktik itu bagaimanap­un tidak bertahan lama apabila dihidu Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang menyerbu premis berkenaan, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Ia membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh berusia 20 hingga 30-an disyaki penganjur dan penjaga premis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai aktiviti perjudian di rumah berkenaan.

“Selain tiga suspek, kita merampas 10 set komputer, dua komputer kawalan kredit dan masing-masing sebuah unit modem dan buku catatan urus niaga serta sejumlah wang tunai.

“Suspek dan semua barangan itu dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket itu hanya membenarka­n pelanggan tetap yang dikenali berjudi di rumah terbabit.

Kata Amar, kes disiasat mengikut Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1963 dan Perkara 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada pemilik rumah supaya tidak menyewakan kepada penganjur premis perjudian bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia