Harian Metro

FMLLP muktamad nasib FELDA United, TFC II esok

- Rizar Mohd Noor sukanteam@nstp.com.my

Johor Bahru: Pengerusi Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahka­n belum ada kata putus berhubung status FELDA United dan Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, apa juga keputusan akan ditentukan menerusi mesyuarat yang akan diadakan esok.

“Akan ada mesyuarat dalam minggu ini, tak silap saya hari Khamis (esok) dan keputusan mengenai status FELDA United dan TFC II akan dibuat selepas itu. Buat masa ini saya pun belum tahu lagi,” kata Tunku Ismail pada sidang media majlis menandatan­gani perjanjian agensi eksklusif hak mencari penajaan antara FMLLP dan Ampersand Sports Sdn Bhd.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memohon kepada FMLLP untuk melakukan penstruktu­ran semula TFC II dengan menjadikan kelab berkenaan sebagai pasukan sokongan negeri manakala FELDA United masih belum diberikan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga Super.

Mengenai status FELDA United, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, kemungkina­n mereka akan memberikan FELDA United lesen sementara untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan tetapi masih bergantung kepada kelulusan ahli lembaga.

“FELDA United gagal untuk memenuhi tempoh tarikh ditetapkan untuk mendapatka­n lesen. Tapi, mereka memenuhi syarat lain,” kata Kevin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia