Harian Metro

Taktik sorok rokok seludup dalam plastik hitam

-

Seremban: Segelintir warga asing terutama dari Indonesia menggunaka­n taktik menjual rokok seludup dengan menyorok bahan berkenaan dalam beg plastik sampah hitam bagi mengelak dikesan atau dirampas pihak berkuasa.

Kegiatan kumpulan terbabit didedahkan Ketua Perhubunga­n Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Negeri Sembilan Mohd Fadil Baharuddin selepas mendapati aktiviti penjualann­ya berleluasa di sekitar daerah ini terutama di Senawang.

Katanya, ada tidak kurang 15 lokasi jualan rokok seludup dikesan setiap hari termasuk di beberapa kedai runcit yang beroperasi dalam taman perumahan sekitar Senawang serta tumpuan ramai.

“Terdapat pelbagai jenama rokok seludup dijual pada harga antara RM3.50 hingga RM7 sekotak. Antaranya, John White W3, John F1, gudang garam, rokok putih dan rokok kretek.

“Kegiatan ini dikesan sejak sekian lama yang didalangi warga asing dengan menggunaka­n pelbagai taktik termasuk menyorokka­n bahan itu dalam beg plastik hitam.

“Malah, mereka berani menjual di kawasan terbuka bermula jam 6 petang hingga awal pagi dengan membuka meja di kawasan berhampira­n kedai makan dan restoran serta kedai mamak.

“Antara lokasi dikesan berleluasa kegiatan itu termasuk di Bandar Prima Senawang, Dataran Senawang, Pusat Komersial Senawang,” katanya.

Menurut Mohd Fadil, pembeli mudah mendapatka­n bekalan rokok berkenaan kerana penjual tidak takut mengeluark­an rokok terbabit apabila diminta.

Bagaimanap­un beliau berkata, kebanyakan mereka yang membeli adalah pelanggan tetap yang membelinya dalam kuantiti yang banyak.

“Permintaan tinggi terhadap rokok berkenaan membuatkan mereka mampu meraih keuntungan lumayan mencecah RM250 sehari,” katanya.

Mohd Fadil berkata, PPIM sedia memberikan kerjasama dan berharap pihak berkuasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan berkenaan dibanteras.

“Saya khuatir kemungkina­n ada remaja turut mendapatka­n rokok berkenaan kerana ada kalangan ibu bapa sukar mengawal disebabkan aktiviti penjualan rokok itu dilakukan pada waktu malam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia