Harian Metro

Three Lions tetap waspada

-

Pengurus England, Gareth Southgate enggan memandang mudah saingan Piala Dunia 2018 selepas pasukannya mendapat undian mudah dalam laluan untuk mara lebih jauh pada saingan kali ini.

Dalam undian di Russia awal pagi semalam, England diletakkan dalam Kumpulan G bersama Belgium, Panama dan Tunisia.

Ia menyaksika­n England berjaya mengelak daripada bertembung dengan tiga pasukan gergasi dunia seperti Argentina, Brazil dan Jerman sekali gus memberi kelebihan buat anak buah Southgate mencipta kejutan. England yang

kali terakhir menjuarai Piala Dunia pada 1966 akan berdepan Tunisia dalam aksi pertama di Volgograd 18 Jun depan, dengan kali terakhir kedua-duanya bertemu di Piala Dunia Perancis 1998 yang menyaksika­n gol Alan Shearer dan Paul Scholes membantu Three Lions menang 2-0 di Marseille.

Seterusnya mereka akan ke Nizhni Novgorod untuk menghadapi Panama pada 24 Jun sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan menentang Belgium di Kaliningra­d empat hari kemudian.

Dengan dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan layak ke pusingan kedua, Belgium dan England dianggap pilihan untuk mendominas­i.

Bagaimanap­un, Southgate tetap berhati-hati apabila menyifatka­n Panama antara pasukan yang mampu mencetus masalah besar buat pasukannya.

“Atas kertas kami antara yang terbaik. Apa pun, kami perlu melakukan persiapan yang cukup rapi kali ini,” katanya yang pernah beraksi menentang Tunisia pada Piala Dunia 1998.

“Saya masih ingat lagi aksi menentang Tunisia pada 1998 dan itu yang bermain di fikiran saya ketika ini. Ia antara perlawanan yang cukup hebat dan kenangan manis untuk dikenang.

“Tidak banyak maklumat yang kami tahu mengenai pasukan dari Afrika itu, namun kami akan melakukan persiapan lebih rapi selepas ini,” katanya. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia