Harian Metro

PERPISAHAN TERINDAH

- lapor Amran Yahya.

Abu Bakar Osman, 64, tidak dapat menahan linangan air mata apabila terpaksa melepaskan rakan karibnya Abdul Khalid Abdul Majid, 56, yang dijaga di surau lama sejak dua bulan lalu untuk pulang ke pangkuan keluarga. Namun dalam kesedihan itu hatinya lega kerana akhirnya Abdul Khalid yang terlantar sakit dapat bertemu dengan anggota famili yang terpisah sejak sedekad lalu,

Lelaki hilang 10 tahun terlantar di surau akhirnya dijemput keluarga

Bergenang air mata Abu Bakar Osman, 64, ketika melepaskan rakan karibnya, Abdul Khalid Abdul Majid, 56, yang dijaga sejak dua bulan lalu untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Namun dalam kesedihan itu hatinya lega kerana sahabatnya itu dapat dijaga keluarga selain tinggal di rumah berbanding terlantar di surau lama di Kampung Anga Bisa, Gachong sejak Oktober lalu.

Pagi semalam, adik serta beberapa saudara Abdul Khalid mengunjung­i surau berkenaan dan membawanya pulang ke rumah mereka di Klang, Selangor.

Adik Abdul Khalid, Hamidah, 51, berkata, berita mengenai abangnya yang 10 tahun hilang itu yang disiarkan akhbar ini semalam amat mengejutka­n.

“Sudah 10 tahun kami menjejakin­ya sejak pertemuan terakhir ketika ibu meninggal dunia pada 2007. Sudah puas kami mencari, tetapi buntu kerana tiada maklumat tepat.

“Ada yang beritahu dia di Perak dan khabar angin mengatakan dia menetap di Singapura,” katanya.

Menurutnya, mereka ada 12 adik beradik dan Abdul Khalid anak kedua dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.

“Syukurlah kami bertemunya semula dan semua ahli keluarga dihubungi dan menungguny­a di Klang,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan mengenai kemuliaan hati Abu Bakar yang sanggup menjaga rakannya Abdul Khalid yang dikenali ketika sama-sama belajar ilmu agama di Madrasah An Nur di kampung itu.

Menurutnya, dia tidak tahu latar belakang lelaki itu apalagi keluargany­a, tetapi apabila melihat Abdul Khalid tinggal bersendiri­an di surau berkenaan selepas menghidap sakit dalam perut, dia terpanggil menjaga keperluan rakannya termasuk menyuap makanan, memandikan serta menukar lampin.

Keperluan Abdul Khalid yang terlantar itu turut dibantu jemaah madrasah dan penduduk yang bersimpati.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, banyak kenangan dia dengan Abdul Khalid sepanjang 10 tahun mereka bertemu ketika menuntut ilmu agama di madrasah itu.

“Namun, pagi ini saya terima hakikat kami berpisah kerana Abdul Khalid dijemput ahli keluargany­a.

“Banyak kenangan yang saya dan dia tidak dapat lupakan,” katanya sambil mengesat air mata.

Menurut Abu Bakar yang berasal dari Rembau, rakannya itu seorang yang peramah dan mereka saling membantu ketika belajar di kampung ini.

“Kami mula bertemu pada 2007 dan selepas empat tahun, kami berpisah sementara waktu.

“Saya pulang ke Rembau manakala Abdul Khalid menetap sementara di Jemapoh, Kuala Pilah.

“Kami kerap bersua di Madrasah An Nur ketika ada kelas pengajian. Bagaimanap­un, Oktober lalu kesihatan Abdul Khalid semakin merosot dan saya ambil alih menjaganya,” katanya.

Jelasnya lagi, dia berusaha mencari waris rakannya itu namun gagal sehingga mengambil keputusan menguar-uarkannya dalam akhbar ini.

“Alhamdulil­lah, dia bertemu semula dengan keluarga yang sedia menjaganya. Sebagai rakan, saya tidak akan melupakann­ya,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? LAPORAN Harian Metro, semalam.
HAMIDAH bertanya sesuatu kepada Abdul Khalid sambil diperhatik­an Abu Bakar. LOKASI Abdul Khalid terlantar di Surau Lama Kampung Angga Bisa.
LAPORAN Harian Metro, semalam. HAMIDAH bertanya sesuatu kepada Abdul Khalid sambil diperhatik­an Abu Bakar. LOKASI Abdul Khalid terlantar di Surau Lama Kampung Angga Bisa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia