Harian Metro

TH lakar sejarah di peringkat global

-

London: TH Properties Sdn Bhd melakar sejarahnya tersendiri di peringkat global apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Reka Bentuk dan Pembinaan Hotel Baharu Terbaik Antarabang­sa.

Anugerah hartanah berprestij global itu dirangkul anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi Hotel dan Pusat Konvensyen TH Kuching, Sarawak (THHCC Kuching).

Anugerah berkenaan diterima TH Properties pada Anugerah Hartanah Antarabang­sa 2017-2018 yang diadakan sempena IPAX Global, anjuran Internatio­nal Property Media Group di sini, semalam.

Pada majlis sama, pemaju hartanah bersepadu itu juga merangkul Anugerah Reka Bentuk dan Pembinaan Hotel Baharu Terbaik Asia Pasifik.

Pengiktira­fan sebagai juara dunia dan serantau itu menyusuli kejayaan TH Properties membawa pulang tiga anugerah di Anugerah Hartanah Asia Pasifik, Bangkok, Thailand pada Mei lalu.

Tiga anugerah berkenaan ialah Anugerah Pembinaan dan Rekaan Hotel Baharu Terbaik Malaysia bagi THHCC Kuching, Anugerah Pangsapuri Terbaik Australia bagi Bay Pavilions di Sydney, Australia dan Anugerah Pembinaan Pejabat Terbaik Malaysia bagi Kompleks Islam Putrajaya.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman berkata, pengiktira­fan berprestij itu amat bermakna bagi pemaju hartanah bersepadu berkenaan.

“Anugerah ini adalah pengiktira­fan antarabang­sa tertinggi yang diterima TH Properties setakat ini. Anugerah yang dirangkul ini sekali gus memperakui komitmen kumpulan terhadap inovasi, kualiti tinggi dan keupayaan untuk melaksanak­an projek dengan rapi.

“Anugerah ini ditujukan khas kepada ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan seluruh kakitangan TH Properties kerana mereka yang menzahirka­n jenama ini.

“Kemenangan ini mengesahka­n kerja keras mereka dan menjadi pengukur prestasi kami dalam beberapa tahun ini,” katanya.

Roszali juga berkata, pengiktira­fan antarabang­sa itu juga akan menjadi pemangkin kepada TH Properties untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi lagi dalam pasaran hartanah tempatan dan antarabang­sa.

Anugerah Hartanah Antarabang­sa 2017 memberi tumpuan terhadap kualiti reka bentuk, pembinaan dan penyampaia­n projek hartanah individu dan pembanguna­n hartanah, seni bina dan pemasaran.

 ??  ?? LAKARAN Hotel Tabung Haji yang masih dalam pembinaan di Kuching.
LAKARAN Hotel Tabung Haji yang masih dalam pembinaan di Kuching.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia