Harian Metro

Deuter Pinky Rider tarik perhatian

-

Sungai Buaya: Berkayuh dalam kelompok 16 pelumba dan memakai jersi merah jambu berjaya menarik perhatian ramai pengunjung terhadap pasukan Deuter Pinky Rider ketika menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 (HMMTBGP), Sabtu lalu.

Paling mencuri tumpuan adalah penunggang wanita pasukan itu, Non Tasbihaton Marhaban, 37, kerana saiznya yang agak besar dengan berat badan 97 kilogram (kg).

Kehebatan wanita yang lebih mesra dengan panggilan Non itu makin terserlah apabila dia dan pasukannya berjaya menamatkan kayuhan sejauh 38.7 kilometer.

Menurut Non Tasbihaton, dia menyertai acara HMMTBGP kerana minatnya dalam sukan basikal lasak.

“Ini bukan kali pertama saya menyertai program seperti ini malah sepanjang lebih empat tahun saya dalam pasukan ini banyak pertanding­an saya sertai.

“Matlamat saya sudah tentu menurunkan berat badan selain mengecapi kepuasan berkayuh beramai-ramai dan menghabisk­an kayuhan walaupun mengambil masa panjang,” katanya.

Menurutnya, berat badannya sebelum ini adalah 110kg dan kini dia berjaya menurunkan lebih 13kg melalui aktiviti berbasikal.

Katanya, walaupun berat badannya kekal pada tahap itu namun dia tetap bersyukur kerana kesihatann­ya juga terjamin.

“Matlamat kurus tetap ada tapi kepuasan berkayuh itu lebih dirasai dan ia menyihatka­n.

“Berat macam mana sekali pun, saya tak kisah asalkan sihat sebab kalau kurus tapi sakit tak guna juga,” katanya.

Non Tasbihaton berkata, dia bersama pasukannya baru saja menyelesai­kan misi kayuhan amal sejauh 670 km dari Wangsa Maju ke Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah bulan lalu.

Menurutnya, kayuhan selama lima hari bermula 25 hingga 29 November itu disertai 40 peserta dan berjaya mengumpul dana RM12,000 untuk disumbangk­an kepada beberapa rumah anak yatim sekitar Kuala Lumpur, Teluk Intan, Perak dan Jitra, Kedah.

 ??  ?? NON Tasbihaton (duduk kanan) bersama sebahagian pelumba Deuter Pinky Rider selepas kayuhan.
NON Tasbihaton (duduk kanan) bersama sebahagian pelumba Deuter Pinky Rider selepas kayuhan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia