Harian Metro

9 mat gian ditahan

- Razik Zayad hmkk@hmetro.com.my

 Polis gempur beberapa lokasi dalam Op Sarang

Sembilan lelaki yang khayal akibat syabu, termasuk tiga daripadany­a disyaki pengedar dadah, diberkas polis dalam serbuan berasingan di tiga lokasi di sekitar Kinarut, dekat sini.

Dalam serbuan sempena Op Sarang bermula jam 9 malam Rabu sehingga jam 3.30 pagi semalam itu, semua suspek berusia antara 20 hingga 40-an berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superinten­dan Ladamah Sulaiman berkata, polis menyerbu Skim Penempatan Kinarut, Taman Rose Garden dan Kampung Laut sebaik pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan penyalahgu­naan dadah di lokasi berkenaan.

“Sembilan lelaki berjaya ditahan dan hasil ujian saringan awal air kencing, kita dapati semua suspek positif dadah jenis syabu.

“Selain daripada tangkapan suspek, kita juga berjaya menemui 10.26 gram syabu di salah satu lokasi serbuan dalam operasi berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan dan dadah itu dirampas sebelum dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek kini direman di IPD Papar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Ladamah, operasi selama enam jam itu membabitka­n seramai 14 pegawai serta anggota.

“Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang serbuan terbabit,” katanya.

 ??  ?? ANTARA suspek yang ditahan dalam Ops Sarang IPD Papar, semalam.
ANTARA suspek yang ditahan dalam Ops Sarang IPD Papar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia