Harian Metro

SOKONGAN SOSIAL UTAMA

- Nor Hairulniza­m Wahid hairulniza­m@hmetro.com.my

 Sumbangan besar ibu bapa jadi pemangkin semangat

seseorang atlet untuk capai kejayaan

Apabila membicarak­an mengenai kejayaan seseorang atlet, tidak lengkap jika tidak menyentuh mengenai sumbangan besar ibu bapa terhadap pembentuka­n karier mereka sejak awal.

Satu kisah yang menarik perhatian adalah bagaimana kesungguha­n seorang bapa yang sanggup bermotosik­al sejauh 1,300 kilometer dari Juru, Pulau Pinang semata-mata kerana ingin melihat anaknya beraksi dalam saingan hoki Piala Sultan Johor di Johor Bahru, dua bulan lalu.

Hakikatnya, kasih sayang dan sokongan ibu bapa menjadi dorongan untuk memberikan yang terbaik demi memastikan anak mereka cemerlang, bukan saja dalam sukan tetapi juga dalam kehidupan.

“Kejayaan seseorang atlet itu dibantu sokongan sosial dan ibu bapa adalah sokongan sosial paling kuat dalam menentukan kejayaan anak mereka dalam bidang sukan,” kata Profesor Psikologi Sukan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulati­han Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Shaharudin Abdul Aziz.

Jelas beliau, kejayaan dicapai atlet luar negara seperti bintang tenis Serena dan Venus Williams dan legenda golf moden Tiger Woods banyak dibantu hasil dorongan ibu bapa, tidak ketinggala­n atlet tempatan seperti Datuk Nicol David.

Namun apakah faktor yang menjadikan ibu bapa sebagai pendorong terbaik buat anak-anak mereka terutamany­a dalam bidang sukan?

Dr Shaharudin menjelaska­n, satu daripadany­a adalah ibu bapa itu sendiri yang meletak matlamat untuk anak-anak mereka.

“Sebagai contoh Allahyarha­m Datuk Sidek Abdullah Kamar, kita boleh lihat bagaimana beliau mendidik anak-anaknya untuk cemerlang dalam badminton,” kata Dr Shaharudin.

“Biarpun ada di antara anaknya meminati bola sepak tetapi disebabkan penekanan terhadap badminton yang sentiasa diberikan kepada anak-anaknya, mahu tidak mahu dan lama kelamaan, mereka akhirnya memberi fokus terhadap badminton.”

Selain itu menurut beliau adalah bagaimana kejayaan demi kejayaan yang dimiliki biarpun kecil membuatkan seseorang itu yakin dengan kemampuann­ya.

“Kejayaan itu ditambah dengan sokongan ibu bapa menjadi pemangkin semangat untuk terus berjaya, tambahan pula kejayaan itu diusahakan bersama orang tersayang, khususnya ibu bapa dan menjadi asas kepada kejayaan yang lebih baik,” kata beliau.

Tidak kurang juga yang mengaitkan­nya dengan keinginan ibu bapa melihat anaknya pergi lebih jauh dalam sukan ini dan menjadikan­nya kerjaya yang menjanjika­n pendapatan lumayan, apatah lagi jika mereka mendapati anak mereka seorang yang berbakat dalam sukan (gifted).

Jelas Dr Shaharudin, perkara itu ada kebenarann­ya kerana kajian ada menunjukka­n ibu bapa secara umumnya tidak mahu anaknya terbabit dalam sukan dan lebih memberi tumpuan terhadap akademik tetapi bagi atlet tertentu yang dilihat mempunyai lebih potensi dalam bidang sukan berbanding akademik, maka karier sebagai atlet itulah jalan terbaik untuk karier masa depan mereka.

“Kita boleh lihat kejayaan dalam sukan ketika ini bukan saja hadir dengan ganjaran tetapi membolehka­n atlet menjadi duta produk yang tentu sekali memberi pulangan besar terhadap atlet,” katanya.

Namun tidak dinafikan wujud kontra di sebalik sokongan ibu bapa yang lebih bersifat kepada campur tangan terhadap atlet hingga menggusark­an jurulatih.

“Sememangny­a ada yang campur tangan kerana inginkan yang terbaik untuk anak mereka tetapi dalam hal tertentu seperti sains sukan dan prestasi ada baiknya perkara itu diperbinca­ngkan dengan jurulatih kerana jika ada campur tangan yang keterlalua­n, jurulatih akan rasa terganggu,” katanya.

“Justeru ibu bapa perlu memantapka­n diri dengan ilmu membabitka­n sukan supaya boleh memberi sokongan dan input yang baik yang boleh dibincangk­an bersama jurulatih supaya ia boleh mewujudkan situasi ‘menang-menang’ untuk semua pihak.

“Tidak kurang juga ada kes atlet yang rasa tertekan dengan harapan dan sokongan ibu bapa khususnya pada hari pertanding­an dan perkara seperti ini juga perlu juga diambil perhatian dan ditangani dengan sewajarnya.”

 ??  ?? NICOL
WOODS
SERENA
NICOL WOODS SERENA
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia