Harian Metro

Tragedi berdarah enam keluarga

-

Lenggong: Hasrat enam sekeluarga dari Terengganu bercuti bertukar tragedi apabila kenderaan yang mereka naiki dirempuh treler membawa sisa ikan di persimpang­an lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar- Gerik berhampira­n Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, tiga beradik maut termasuk pasangan kembar manakala ibu bapanya parah dan seorang lagi adik-beradik mereka cedera.

Kemalangan berlaku apabila treler berkenaan yang dipercayai mengalami masalah brek merempuh empat kenderaan di persimpang­an lampu isyarat itu.

Mangsa yang maut adalah kembar Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah berusia lapan tahun dan kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22, yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu bapa mereka, Ismail Yaacob, 53, dan Zarina Yong, 44, pula dilaporkan parah dan dirawat di Hospital Taiping manakala seorang lagi adik-beradik mereka, Nur Ain Harizah, 13, cedera.

Ketua Polis Daerah Gerik Superinten­dan Ismail Mat Isa berkata, kemalangan itu membabitka­n sebuah treler membawa sisa ikan dan empat kenderaan lain iaitu Nissan Grand Livina, Honda HRV, Toyota Hilux dan Nissan Sentra.

Menurutnya, empat kenderaan berhenti di lampu isyarat merah sebelum dirempuh treler berkenaan yang dipercayai mengalami masalah brek.

“Tiga mangsa maut di tempat kejadian, dua parah serta seorang cedera dari Honda HRV manakala dua lagi mangsa yang menaiki Nissan Grand Livina turut cedera.

“Pemandu dan kelintan treler serta pemandu Toyota Hilux itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati semua kenderaan dari Gerik menuju Kuala Kangsar sebelum treler di belakang merempuh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia