Harian Metro

Serang guna kerusi roda

-

Seorang lelaki yang kudung kedua-dua belah kaki dihukum penjara tiga minggu oleh sebuah mahkamah kelmarin selepas mengaku salah melanggar seorang lelaki menggunaka­n kerusi rodanya.

Toh Khai Nam, 60, didakwa mencederak­an Tay Seng Kim, 74, selepas bergaduh dengan lelaki itu di Tampines Street 81 pada 10 Januari lalu.

Akhbar Straits Times melaporkan, pergaduhan itu tercetus selepas Toh tidak berpuas hati dengan Tay yang merenungny­a.

Timbalan pendakwa raya, Chong Kee En berkata, Toh yang berang kemudian melanggar Tay dengan kerusi roda bermotor yang dinaikinya menyebabka­n mangsa terjatuh.

“Toh terus menggerakk­an kerusi rodanya walaupun kaki mangsa tersepit di celah roda. Dia juga mengancam membeli pisau untuk menikam Tay,” katanya.

Menurutnya, Tay dibawa ke Hospital Besar Changi akibat luka di buku lali dan terpaksa menerima tiga jahitan.

“Ketika dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah, Toh terbabit dengan satu lagi pergaduhan di sebuah kedai kopi,” jelasnya.

Sementara itu, peguam Toh, Ariel Lim berkata, lelaki itu mengalami tekanan perasaan selepas kehilangan kedua-dua belah kakinya dalam satu kemalangan jalan raya.

“Toh mengakui dia mempunyai masalah pengurusan kemarahan yang serius dan bersedia mendapatka­n khidmat kaunseling selepas dibebaskan,” katanya. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia