Harian Metro

Aifa raih juara Terbuka Remaja

-

Kuala Lumpur: Selepas sebulan berehat disebabkan kecederaan buku lali kanan, pemain pelapis negara, Aifa Azman kembali bangkit memastikan gelaran kali kelima di Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Kuala Lumpur ke-11 semalam.

Dia merangkul gelaran itu dengan menundukka­n rakan sepasukan, Lai Wen Li dalam perlawanan akhir bawah 19 tahun Perempuan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Genap berusia 16 tahun pada 18 Disember ini, Aifa yang mewakili pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)/Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mudah mengatasi Wen Li 11-3, 11-7 sebelum berhempas-pulas untuk menamatkan saingan 13-11 bagi memastikan kejayaan pertamanya selepas berehat daripada kecederaan.

“Perlawanan tadi adalah sukar bagi saya memandangk­an saya baru kembali berlatih selama tiga minggu. Ini adalah kejohanan pertama saya menjelang Terbuka Remaja Britain yang akan berlangsun­g tidak lama lagi (3-7 Januari 2018 di Birmingham),” katanya yang sebelum ini memenangi gelaran bawah 9, 11, 13 dan 15 tahun.

Pemain yang berasal dari Alor Setar itu berkata dia menyasarka­n untuk memenangi gelaran pada Terbuka Remaja Britain nanti apabila bertanding dalam kategori bawah 17 tahun.

“Tahun lalu saya sekadar menduduki tempat kelima pada Terbuka Remaja Britain (bawah 17), jadi kali ini saya harap dapat memenangi kejuaraan pula,” kata Aifa.

Sementara itu, dalam kategori bawah 17 lelaki, Muhammad Harris Ramlee dari Selangor berjaya mengejutka­n pilihan pertama, Mohd Amir Amirul Azhar (SSBJ/SRAM) dengan kemenangan 8-11, 11-9, 11-8, 4-11, 11-5.

“Tadi saya bermain sambil menahan kesakitan di kaki kanan, saya cuma bertahan untuk bermain supaya dia (Mohd Amir) kepenatan,” kata Harris yang berusia 16 tahun.

 ??  ?? AKSI Aifa ketika Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Kuala Lumpur ke-11.
AKSI Aifa ketika Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Kuala Lumpur ke-11.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia